DR. USAMAH Mohamed Hassan Elabed (kiri) bertukar dokumen perjanjian
dengan Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin sambil disaksikan Tuanku Muhriz
Tuanku Munawir (tengah), Tunku Ali Redhauddin (dua dari kiri), Tunku
Zain Al-Abidin (kanan) dan Mohamad Hasan di Istana Besar Seri Menanti,
Negeri Sembilan, semalam.
KUALA PILAH 31 Okt. – Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku
Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir hari ini berangkat menyaksikan
majlis menandatangani kerjasama penubuhan Kuliyyah Al-Azhar Malaysia di
Istana Besar Seri Menanti di sini.
Kerjasama itu adalah antara Yayasan Sofa Negeri Sembilan (Yayasan
Sofa) yang dinaungi oleh baginda dengan Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pada majlis tersebut, Universiti Al-Azhar diwakili oleh Presidennya,
Profesor Dr. Usamah Mohamed Hassan Elabed manakala Yayasan Sofa oleh
Pengasas-Penasihatnya, Syeikh Muhammad Fuad Kamaludin.
Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Tunku Besar Seri
Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Tunku Zain Al-Abidin
Tuanku Muhriz.
Dalam titah baginda, Tuanku Muhriz mahu usahasama dan kerjasama itu
diteruskan kerana ia akan membawa manfaat yang besar kepada umat Islam
di negeri ini.
Baginda bertitah, manfaat itu diberi melalui tawaran kursus oleh
Kuliyyah Al-Azhar, sebuah fakulti khas yang diwujudkan di Universiti
As-Sofa yang didirikan di negeri ini.
“Gagasan Universiti Al-Azhar melalui pendidikan perlu diambil
semangatnya terutama apa yang diwariskan oleh para ulama dengan memahami
dengan tepat ajaran mereka dan dipraktikkan dalam kehidupan seharian,”
titah baginda.
Sementara itu, Yang Dipertua Yayasan Sofa, Dr. Yusri Mohamad berkata,
kerjasama itu menyaksikan penubuhan secara bersama sebuah fakulti khas
untuk pengajian Islam menurut acuan Universiti Al-Azhar, Mesir di negara
ini.
“Ini bermakna kuliyyah berkenaan adalah sebahagian daripada Universiti As-Sofa yang ditubuhkan oleh Yayasan Sofa,” katanya.
Menurutnya, pengajian di bawah Kuliyyah Al-Azhar Malaysia akan
dimulakan dengan kursus dalam bidang Usuluddin dan Syariah dan mungkin
disusuli dengan Pengajian al-Quran dan Bahasa Arab.
“Bagi kursus berkaitan profesional pula, ia akan menjurus kepada bidang pengurusan berteraskan Islam,” ujarnya.
Comments