Saya sentiasa pelihara akidah - PM
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau
sentiasa memelihara akidah sebagai seorang Islam ketika menghadiri
upacara penganut agama lain, sesuai dengan tanggungjawab memimpin semua
lapisan masyarakat yang mempunyai pelbagai kepercayaan.
Perdana Menteri berkata, tanggungjawab menghormati agama lain perlu
diamalkan oleh setiap individu terutama penganut Islam selagi ia tidak
bercanggah dengan akidah.
"Kalau sedemikian rupa caranya, insya-Allah umat dan agama Islam akan
lebih dihormati. Begitu juga dengan kepimpinannya akan membawa rahmat
bukan saja kepada umat Islam tetapi juga yang bukan Islam sebagai rakyat
Malaysia keseluruhannya," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada penutupan program
Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012
bersama Perdana Menteri di sini, hari ini.
Najib menyentuh perkara itu bagi menerangkan teguran Mufti Perak, Tan
Sri Harussani Zakaria mengenai kehadiran beliau ke sambutan perayaan
Thaipusam di Batu Caves di sini, baru-baru ini.
Kata Perdana Menteri, beliau telah pun menerangkan kepada Harussani
bahawa kehadiran beliau hanya melibatkan kawasan pekarangan dalam dewan
sahaja.
Menurut Najib, ucapannya pada majlis itu pula hanya menyentuh
mengenai pembangunan sosioekonomi masyarakat India dan beliau langsung
tidak terlibat dengan upacara keagamaan Hindu.
"Jadi Harussani pun kata ia tidak bertentangan dengan hukum syarak
dan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dan saya berterima
kasih kepada beliau," katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta supaya golongan ulama, cendekiawan
Islam serta penulis maya bergabung sebagai satu benteng kukuh dalam
mempertahankan kepentingan dan maruah Islam di Malaysia.
Menyedari kepentingan itu, Perdana Menteri berkata, tiga kumpulan
berkenaan perlu lebih peka dan prihatin terhadap perkembangan semasa dan
perubahan dasar kerajaan supaya setiap maklumat dapat disampaikan
dengan tepat dan berkredibiliti.
"Justeru berjihad dalam menyebarkan kebenaran dan menegakkan syariah
Islam sama ada melalui penulisan atau percakapan hendaklah dimulai
dengan niat yang ikhlas, beramanah, maklumat yang jujur dan tepat, serta
tidak mengelirukan pihak yang mendengarnya," katanya.
Comments