Kelab
menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dinamakan sebagai Tolak
Individu Bernama Anwar Ibrahim atau ringkasnya Tibai, dilancarkan secara
rasmi hari ini dengan pemimpinnya bertekad mahu mencabar Ketua
Pembangkang itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Kelab itu dirasmikan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Dalam
ucapan pendahuluannya, Mursyidul Am Tibai, Muhammad Zahid Md Arip
berkata, beliau tidak gentar untuk berdepan dengan penyokong Anwar,
Ketua Umum PKR, dengan tertubuhnya Tibai, yang membawa maksud gasak,
hentam atau bantai.
"Saya
tidak gentar dengan ugutan dan hentaman oleh penyokong Anwar walaupun
menerima kecaman dan hentaman di Facebook dan Twitter," katanya.
Muhammad
Zahid berkata, matlamat kelab ini untuk membangkitkan kesedaran
maksimum di kalangan rakyat untuk terus menolak Anwar dan sekutunya pada
PRU13 akan tetap diteruskan.
Sehubungan itu, beliau turut menyatakan kesediaan untuk bertanding melawan Anwar di kerusi Permatang Pauh pada PRU13.
Anwar memenangi semula kerusi itu pada pilihan raya kecil Ogos 2008.
"Jika
Perdana Menteri memberikan peluang untuk saya bertanding di sana, saya
sedia untuk berdepan dengan Anwar," katanya yang disambut tepukan
gemuruh penyokong yang hadir.
Muhammad Zahid juga memberi jaminan Tibai akan turun pada PRU13 untuk memberi sokongan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN).
Majlis
pelancaran Tibai di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru di sini,
dihadiri kira-kira 3,000 penyokong dan 28 Ahli Majlis Syura Tibai.
Bagaimanapun,
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Senator
Mohd Ezam Mohd Noor tidak dapat turut serta.
Pada
majlis tersebut, beberapa bekas pemimpin PKR diberikan peluang untuk
berucap sebelum majlis perasmian disempurnakan oleh Ibrahim, yang juga
Ahli Parlimen Pasir Mas.
Kata
Muhammad Zahid, walaupun Tibai menyokong Umno, mereka bertindak
menubuhkan kelab ini tanpa pengaruh sesiapa kecuali atas kesedaran
menyelamatkan negara daripada Anwar.
"Kita
akan turun secara maksimum di kawasan-kawasan yang ditandingi PKR bagi
mendedahkan siapa Anwar sebenarnya.Kita akan guna apa jua cara untuk
halang Anwar," katanya.
Pada
sidang media mengumumkan penubuhan kelab itu pada 18 April lalu, Tibai
yang disertai oleh bekas pemimpin tertinggi PKR ditubuhkan khusus untuk
berjuang habis-habisan menolak Ketua Pembangkang itu daripada arus
politik perdana.
Tibai akan memfokus empat negeri iaitu di Wilayah Persekutuan, Selangor, Pulau Pinang dan Kedah.
Antara
lain, Tibai juga disertai Senator Datuk S Nalakaruppan; Ahli Parlimen
Wangsa Maju, Wee Choo Keong; bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari;
bekas pengasas PKR, Ng Lum Yong; Ketua Penerangan Perkasa, Ruslan
Kassim; bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang, Aminah Abdullah; Pengerusi
Gagasan Anti Penyelewengan Selangor, Hamidzun Khairuddin dan bekas
pembantu Anwar, Rahimi Osman. SH
Kredit kepada Empayar Pemuda
Comments