TIBAI mahu nyahkan Anwar
Matlamat kelab ini ialah untuk membangkitkan
kesedaran maksimum di kalangan rakyat untuk terus menolak Ketua
Pembangkang dan sekutunya pada PRU13.
Sebuah kelab terbaru, Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim
(TIBAI) yang disertai oleh bekas pemimpin tertinggi PKR ditubuhkan
khusus untuk berjuang habis-habisan menolak Ketua Pembangkang itu dari
arus politik perdana.
TIBAI kini dianggotai 28 Ahli Majlis Syura yang juga terdiri daripada
bekas rakan karib Anwar dan penasihat kelab ini adalah Ahli Parlimen
Kulim-Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin dan Senator Mohd Ezam Mohd
Noor.
Menurut Mursyidul Am TIBAI, Muhammad Zahid Md Arip, matlamat kelab
ini ialah untuk membangkitkan kesedaran maksimum di kalangan rakyat
untuk terus menolak Anwar dan sekutunya pada pilihan raya umum akan
datang.
Beliau berkata, TIBAI juga menumpukan Wilayah Persekutuan, Selangor,
Perak, Pulau Pinang dan Kedah untuk melaksanakan pelbagai program untuk
melestarikan agenda besar menolak habis-habisan Anwar.
Katanya, pelancaran akan diadakan pada 22 April (Ahad) jam 8.00 malam di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru.
Majlis pelancaran itu juga akan disempurnakan oleh Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Antara penampilan istimewa dalam majlis pelancaran itu nanti
termasuklah Umi Hafilda, Datuk Shazril Eskay Abdullah, Wee Choo Keong,
Datuk Seri Zahrain Hashim dan Anuar Shaari.
“Orang ramai boleh menyertai kelab ini secara bai’ah (nyatakan
ketaatan dan kesetiaan). Kita tubuhkan kelab ini agar rakyat sedar dan
terus menolak Anwar habis-habisan.
“Kita sedar Anwar akan kata tindakan ini tidak menguntungkan dan ia
kerja Umno. Tapi kita bekas anggota pemimpin PKR akan turun sebagai task
force baru dalam bentuk program seperti gerakan sumpah keramat,”
katanya.
Antara yang hadir dalam sidang media itu termasuklah bekas-bekas
rakan karib Anwar antaranya, Ng Lum Yong (bekas pengasas PKR), Senator
Datuk Nallakaruppan, Abd Ghani Haroon (Exco Pemuda Keadilan Nasional),
Wan Indera Putera (Setiausaha PKR Selangor) dan Mohd Nazmi Rosli
(Setiausaha Perhubungan PKR Selangor).
Comments