KELAM kabut pemimpin-pemimpin BN apabila PR mencadangkan agar PTPTN
dihapuskan. Sejak perkara ini dibangkitkan boleh dikatakan setiap hari
akhbar-akhbar perdana serta blog-blog penyokong kerajaan termasuk yang
picisan cuba menjustifikasikan bahawa cadangan PR itu adalah mustahil
dilaksanakan.
Kata mereka cadangan itu akan menyebabkan kerajaan akan menanggung
beban sebanyak RM43 billion di mana segala beban itu akan berpindah ke
bahu rakyat dan rakyatlah yang akan menderita.
Nampak benar yang kerajaan BN tidak mampu berfikir panjang atau
berfikir di luar kotak. Tidak mungkin Dato’ Seri Anwar, seorang yang
berpengalaman sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pelajaran akan
mencadangkan sesuatu yang tidak masuk akal dan membebankan rakyat.
PR sentiasa mendahulukan rakyat dan tidak akan sekali-kali membiarkan
rakyat menderita sepertimana yang dilakukan BN hari ini. Kerana
itulah, PR menjanjikan pendidikan percuma untuk semua peringkat jika PR
memerintah.
Bagi membuktikan kepada rakyat bahawa PR bukannya bercakap kosong
seperti yang dituduh oleh BN, maka kerajaan negeri Selangor akan
melaksanakan cadangan ini di dua IPTS iaitu Kolej Universiti Islam
Selangor (KUIS) dan Universiti Industri Selangor (UNISEL) sebaik sahaja
menang pilihanraya yang dijangka paling lewat pada September depan.
Untuk makluman, jumlah untuk menampung kos pendidikan di KUIS ialah
RM369.98 juta dan UNISEL RM851.29 juta. Dengan jumlah sebanyak itu, BN
memandang sinis janji PR dan menuduhnya sebagai janji palsu.
Namun, PR mempunyai pemimpin yang mampu memandang ke hadapan dan
menyedari bahawa untuk melahirkan generasi yang cemerlang, maka ia harus
bermula dengan memastikan para pelajar tidak dibebankan dengan hutang
serta tidak perlu menanggung kerisauan memikirkan kos pengajian dan sara
hidup. Hanya dengan cara ini maka mereka dapat menumpukan sepenuh
perhatian kepada pelajaran.
Sebenarnya, memberikan pendidikan percuma di kedua-dua universiti ini bukan mustahil sepertimana yang dimomokkan BN.
Dengan kebijaksanaan kepimpinan PR di Selangor, belanjawan Selangor
2012 negeri ini mengaggarkan peningkatan hasil cukai (8.23%) dan hasil
bukan cukai (40.12%) untuk 2012. Simpanan tunai kerajaan Selangor kini
mencecah RM1.2 bilion – jumlah tertinggi dalam 28 tahun.
Kecekapan dan ketelusan kepimpinan membantu menjadikan penjimatan dan
pelonjakan pendapatan negeri sesuatu yang berterusan dan dengan itu,
pendidikan percuma kepada kedua-dua universiti tersebut adalah tidak
mustahil sama sekali.
Hari ini, walaupun mendapat pinjaman PTPTN, masih lagi ada pelajar
yang bekerja secara separuh masa di hari minggu untuk menampung hidup
mereka. Kita juga sering membaca pendedahan mengenai pelajar-pelajar
pusat pengajian tinggi yang membuat kerja-kerja haram termasuk menjadi
GRO atau pelacur.
Kita faham bahawa tekanan pelajar hari ini bukan sahaja untuk lulus
periksa, tetapi yang lebih sukar ialah tekanan arus kemodenan dunia di
mana gajet atau barangan teknologi canggih adalah satu keperluan dan
bukan lagi kemewahan. Kerana itu, ramai pelajar-pelajar universiti
terpaksa mencari wang tambahan untuk memenuhi keperluan ini.
Jelaslah di sini bahawa pinjaman PTPTN yang tidak seberapa itu tidak membawa erti kepada mereka.
Justeru, sebaiknya pelajar tidak dibebankan langsung dengan yuran dan
kos-kos lain. Dengan cara ini, mereka tidak perlu mencari wang
tambahan dan bolehlah menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran dan
sekali gus menjadi insan yang berjaya di masa hadapan.
Bila Tinta Menari-Nari,
Apalah sudi kiranya Kerajaan Pakatan Rakyat Menunaikan janji-janji mereka di PRU ke12 daripada menambah janji yang hanya manis di tepi bibir sahaja.
Jangan lah masih dengan sikap retorik yang mendahulukan nafsu dendam yang tidak menguntungkan.
Generasi Y hari ini merupakan modal insan untuk 20 tahun ke hadapan. Apa yang anda fikirkan dari sudut pembangunan negara??
Malaysia masih muda dan perlu sentiasa diremajakan dengan aqidah dan nawaitu yang baik. Jangan dirosakan nawaitu itu untuk natijah yang akan menghancurkan negara.
Apa dapat??
Comments