“Jangan ingat mereka sahaja ada penyokong, kita pun ada penyokong dan
penyokong kita lebih ramai daripada mereka untuk bangun bagi
mempertahankan negara dan tanah air.”
Itu ketegasan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan
berhubung perhimpunan Bersih 3.0 Sabtu lalu yang bertukar insiden
ganas.
Beliau juga meminta pihak penganjur Bersih 3.0 dan penyokongnya tidak mencabar kuasa majoriti.
“Jangan cabar kita terlampau sangat kerana jika dicabar, kita akan
bangun dan masa itu nanti kita semua akan hilang rasional dan negara
kita akan hancur.
“Saya harap pihak berkenaan fikir kesannya kerana jika kita
bertempur, kita yang akan rugi bersama-sama. Jadi jangan terus cuba
mencabar kita. Kita ada batas kesabaran,” katanya.
Mohamad berkata, sepatutnya mereka yang menyertai perhimpunan Bersih
3.0 harus bersyukur menjadi rakyat Malaysia kerana hidup dalam keadaan
aman damai dan tidak berdepan sebarang bencana.
“Tetapi malapetaka pula berdepan dengan kita akibat kerosakan yang
kita buat sendiri kerana mempunyai generasi begitu biadab, mudah
terpengaruh dengan hasutan dilemparkan oleh mereka yang mempunyai agenda
peribadi,” katanya.
Sehubungan itu katanya, beliau berharap semua pihak akan membuka mata dan sedar.
“Jadi saya berharap, kita buka mata dan berdiri teguh bersama-sama
sebagai rakyat yang merdeka dan tidak sekali-kali merosakkan negara
sendiri,” katanya.
Kredit kepada Portal Berita Negeri Sembilan (n9kini.com)
Comments