ULANGTAHUN UMNO KE-66 : Gelombang Merah Negeri Sembilan

Himpunan gambar dari Album :  







KUALA LUMPUR, 11 Mei -  Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan mengemudi dan mengetui persiapan rapi menyediakan kemudahan pengangkutan untuk ahli-ahli UMNO di Negeri Sembilan hadir di ulangtahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi.

Seramai 15,000 ahli UMNO Negeri Sembilan mula membanjiri stadium pada pukul 4.00 petang bagi sama-sama meraikan ulangtahun UMNO ke-66.

Rombongan dari bahagian-bahagian ini mula bergerak seawal jam 2:30 petang dari bahagian masing-masing bukan sahaja terdiri daripada veteran, wanita, pemuda dan puteri malah ianya turut menarik minat generasi muda dan belia terhadap UMNO yang merupakan satu-satunya parti yang menjadi tunjang dan tulang belakang pembangunan Negara.

Biarpun UMNO sudah menjangkau usia ke-66 hari ini, namun hasil dari kesinambungan kepimpinan yang silih berganti dan membawa hala tuju parti berdasarkan satu prinsip, UMNO terus kukuh berdiri dan sentiasa melaksanakan dasar-dasar baik untuk rakyatnya.

Sempena ulangtahun UMNO ke-66, sambutan kali ini sangat luar biasa apabila hampir 100 ribu ahli UMNO membanjiri stadium untuk mendengar sendiri amanat dari Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang menyatakan perhimpunan hari ini sebagai ‘Perhimpunan Raksasa Maha UMNO’.

Ianya bukan sahaja di hadiri oleh hampir 100 ribu orang dari seluruh negara, tetapi turut diikuti oleh berjuta rakyat Malaysia di kaca televisyen.

Program Sambutan Ulangtahun UMNO ke-66 dimulai 01 Mei 2012 dengan larian bendera UMNO serentak di seluruh Malaysia melalui empat penjuru, utara, timur, selatan dan barat Sabah sebelum sampai ke Stadium Nasional Bukit Jalil, petang tadi dengan diiringi 500 buah konvoi bermotor dan peserta larian bendera UMNO yang diketuai oleh Naib Presiden UMNO, Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan bendera ‘Sang Saka Bangsa’ sebelum Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyempurnakan upacara menaikkan bendera yang merupakan simbolik perjuangan Melayu.

Di majlis kemuncak,  Presiden UMNO, Timbalan Presiden, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, termasuk Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, turut sama-sama memotong pulut kuning ulangtahun UMNO ke-66.

Bagi memperingati perjuangan dan jasa tokoh Melayu yang berjuang di dalam UMNO, penyampaian Tokoh Melayu Terbilang telah di nobatkan kepada Tan Sri Arshad Ayub dan Khalidah Adibah Amin.

Arshad, 84, yang juga Pro-Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), terharu dan bersyukur menerima anugerah itu.

Beliau berharap orang Melayu tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit kerana UMNO sudah banyak berkorban masa dan tenaga untuk kepentingan rakyat dan negara.

Arshad masih aktif sebagai seorang pentadbir, khususnya dalam dunia korporat dan pendidikan, dan antara pelopor dalam pembangunan UiTM serta menjadi pengarah pertamanya pada 1967 hingga 1975.

Khalidah Adibah, 76, pula diiktiraf Tokoh Melayu Terbilang UMNO kerana sumbangan beliau terhadap ketamadunan ilmu persuratan, kesusasteraan dan bahasa.

Anak kepada pejuang kemerdekaan Tan Sri Zainon Sulaiman atau Ibu Zain itu amat prihatin dalam mengangkat latar hidup masyarakat ke dunia penulisan.

Turut hadir, bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamed  berserta isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali.

Ahli UMNO dari Negeri Sembilan yang ditemui wartawan N9kini menyatakan, sambutan daripada Negeri Sembilan amat baik dan menggalakan. Ketika sambutan masih berlangsung, terdapat rombongan bas yang baru sampai untuk mendengar amanat Presiden. Mereka tidak masuk ke dalam stadium, tetapi mendengarnya di layar besar yang di sediakan di luar stadium.

Comments