Bekas isteri turut tuntut hak wang durian runtuh. (Adoi.. agak-agaklah kot yer pun..)

Bekas isteri turut tuntut hak wang durian runtuh
Fasa Pertama...Warga Felda Chini dari lapan buah rancangan ceria menerima durian runtuh pada Mei lalu.
 

PEKAN – Jika ketika awal pengumuman mengenai pemberian durian runtuh oleh Perdana Menteri kepada semua peneroka disambut dengan rasa teruja dan gembira, lain pula ceritanya apabila wang sebanyak RM5,000 itu sudah berada dalam genggaman.

Bagi sebahagian daripada 3,350 peneroka bersama isteri serta generasi kedua di lapan buah gugusan Felda Chini, Pekan, wang durian runtuh yang diberikan mencetuskan pelbagai cerita selepas ia diagihkan.

Bagi seorang peneroka yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, 50-an, wang untuk bahagian isteri peneroka menjadi masalah kepada keluarganya apabila bekas isteri pertama datang menuntut hak.

Menurutnya, wang RM5,000 yang diberikan adalah untuk mereka yang masih bergelar isteri peneroka, manakala bekas isteri yang telah bercerai serta berkahwin lain serta tinggal di luar kawasan Felda tidak berhak menerimanya.

“Saya hairan apabila bekas isteri datang ke rumah untuk menuntut bahagiannya tanpa menyedari bahawa dia sudah tiada hak dalam pengagihan durian runtuh itu.

“Saya tidak sangka dia akan kembali muncul menuntut hak yang bukan miliknya, apatah lagi kami telah bercerai hampir 20 tahun lalu dan masing-masing telah menemui pasangan hidup,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Mat berkata, wang RM5,000 itu menggelapkan mata ramai penerima, malah ada adik-beradik yang bertengkar dalam menentukan cara pembahagian wang berkenaan mengikut kehendak masing-masing.

Menurutnya, memang ada yang bermasam muka, malah tidak bertegur sapa hanya kerana wang RM5,000 yang diberikan untuk meringankan beban kehidupan warga Felda.

Ketua Blok Wanita Felda Chini 4, Anisah Man berkata, pemberian wang RM5,000 kepada semua peneroka di sini perlu dimanfaatkan secara adil dan mengikut saranan yang diberikan bagi mengelak perebutan dan pertelingkahan.

Menurutnya, terdapat beberapa cerita mengenai isu durian runtuh yang didengari, namun ia dapat diselesaikan dengan baik selepas perbincangan dilakukan dan kata sepakat diambil.

“Seharusnya warga Felda bersyukur dengan pemberian tersebut dan ia perlu diberi sama rata kepada yang berhak sekali gus menepis konflik yang bakal tercetus akibat wang berkenaan.

“Jika ada kesepakatan serta sentiasa rasa bersyukur dalam kehidupan seharian, isu berkenaan tidak akan timbul malah ia mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk meringankan beban selain sebagai satu bentuk penghargaan kepada warga Felda,” katanya.

Comments