Pelajar Luar Negara Ada Tanggungjawab Besar Beri Penjelasan Tentang UMNO


Golongan muda khususnya para pelajar yang berada di luar negara mempunyai tanggungjawab besar dalam memberi penjelasan berkaitan UMNO dan dasar-dasarnya kepada masyarakat khususnya di negara tempat mereka mengikuti pengajian.

Timbalan Presiden parti yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin menyatakan bahawa para pemimpin pelajar yang mempunyai hubungan langsung dengan UMNO sebagaimana Kelab UMNO Luar Negara (KULN) perlu berperanan langsung dan memberi penjelasan dengan sempurna.

“Pemimpin-pemimpin KULN ada amanah untuk membetulkan apa saja tohmahan pembangkang yang dilemparkan kepada parti dan kerajaan sebagaimana dakwaan mereka kononnya UMNO tidak adil, UMNO meminggirkan golongan muda dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perjumpaan dengan KULN di PWTC sempena berlangsungnya Perhimpunan Agung UMNO 2012.

Ujarnya, pembangkang seringkali memanipulasikan isu-isu berkaitan dengan hak keistimewaan orang Melayu, hak Raja-raja Melayu serta keadilan sosial sehinggakan ada segelintir rakyat Malaysia yang berada di luar negara turut terpengaruh.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan parti yang telah menjadi tunjang kerajaan dan banyak menyemai budi kepada masyarakat dan negara.

“Ahli-ahli UMNO mesti mempunyai jalinan akrab dengan semua pihak biarpun mereka bukan ahli UMNO dan mesti yakin dengan apa yang dilakukan apatah lagi dalam mempertahankan parti yang dilabel negatif oleh pihak pembangkang,” katanya.

Turut serta dalam pertemuan tersebut ialah isteri beliau, Puan Sri Noraini Abdul Rahman serta Pengerusi Biro KULN, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Sebanyak 67 perwakilan daripada 72 KULN dan tujuh Badan Perhubungan UMNO Luar Negara turut hadir sebagai perwakilan dalam perhimpunan Agung 2012.

Sebelum ini, para perwakilan tersebut turut berkursus bersama wakil-wakil pelajar dalam dan luar negara selain turut serta dalam Forum Antarabangsa. - MediaUMNO

Comments