Tengku Razaleigh Hamzah berkata walaupun UMNO
telah pulih selepas kejutan pilihan raya umum (PRU) 2008, transformasi
parti perlu diteruskan bagi memastikan Umno kekal relevan sepanjang
zaman.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang itu berkata dalam sebuah parti politik
seperti UMNO, transformasi adalah sesuatu yang perlu dilakukan secara
konsisten bagi memastikan kesinambungan yang berterusan.
“Melihat semangat dan kepimpinan UMNO kini yang rajin turun padang
mendekati serta menyelami jiwa rakyat, tidak lupa sokongan generasi muda
meningkat, jadi betul kita sudah pulih.
“Tetapi kita jangan alpa, kita kena terus lakukan transformasi
seperti melatih pemimpin muda menggantikan kita bagi menjadikan UMNO
kekal kukuh pada masa depan,” katanya, di sini hari ini.
Mengulas mengenai sokongan generasi muda, Tengku Razaleigh berkata
walaupun ada generasi muda pada masa ini dilihat berada atas pagar,
perkara itu perlu diambil secara positif oleh UMNO.
“Ini berbeza dengan PRU lepas yang banyak pendapat mengatakan orang
muda ini banyak sokong pembangkang, jadi sekarang bila banyak orang muda
atas pagar maknanya sokongan itu sudah mula condong ke arah kita.
“Ia suatu perkara positif, namun kita jangan mendabik dada sekarang.
Usaha perlu dilakukan bagi menarik terus golongan ini ke arah kita, di
sini jentera UMNO terutamanya Pemuda dan Puteri memainkan peranan
penting,” katanya.
Beliau berkata kekangan terhadap kebebasan generasi muda, terutamanya
untuk berpolitik merupakan satu masalah yang perlu ditangani secara
halus oleh kepimpinan UMNO.
“Generasi muda ini bila mereka dikongkong akan memberontak, jadi kita
kena beri kebebasan pada mereka. Tetapi bila terlalu banyak kebebasan
dikhuatiri perkara lain terjadi, maka suatu mekanisme yang ‘berjalan di
tengah’ perlu dicari, kebebasan tapi masih ada nilai murni orang kita,”
katanya.
Tengku Razaleigh yang mengakui perlu ada lebih ramai pemimpin muda
dalam UMNO, menekankan pada masa yang sama harus ada keseimbangan antara
jumlah pemimpin muda dan yang berpengalaman.
“Perlu ada satu sistem seperti ‘check and balance’…bila orang muda
mahu lakukan ini orang berpengalaman mesti tengok apa kesannya, bila
orang berpengalaman buat ini orang muda kena tengok selari atau tidak
dengan aspirasi mereka,” katanya
Comments