Masa MCA, Gerakan pulih diri



SHAH ALAM - Kalangan penganalisis menyambut baik langkah MCA dan Gerakan menolak jawatan dalam kerajaan membolehkan mereka memulihkan diri terlebih dahulu sebelum kembali semula ke Kabinet.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, setelah pulih dan yakin akan dapat semula keyakinan pengundi Cina dalam pilihan raya, kedua-dua parti itu bolehlah melihat semula keputusan mereka.

"Jika tidak ada langsung jawatan dalam kerajaan (mewakili kaum Cina), ini boleh menimbulkan isu seolah-olah BN tiada wakil daripada kaum itu," katanya.

Sehubungan itu kata Sivamurugan, apa yang boleh diberi pertimbangan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ialah melantik wakil kaum Cina yang dihormati termasuk yang bukan ahli politik.

Cadangan yang sama turut dikemukakan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) pada sidang akhbar, kelmarin yang turut bertegas supaya calon BN pada PRU13 yang kalah jangan dilantik memegang jawatan dalam kerajaan menggunakan platform senator kerana dibimbangi boleh menjejaskan imej parti selain tidak baik untuk masa depan negara.

Dalam pada itu, Geo Strategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan berkata, keputusan kedua-dua parti itu tidak menghalang ketua kerajaan sama ada perdana menteri, menteri besar atau ketua menteri melantik wakil daripada kaum itu dalam Kabinet.

"Yang penting, orang Cina mesti ada wakil, lantiklah wakil yang mereka hormati," katanya.
   
Beliau berkata, melantik wakil Cina walaupun 90 peratus daripada kaum itu berpihak kepada pembangkang dipanggil affirmative action kerana jika tidak, kaum Cina mungkin akan dianggap ketinggalan dalam dasar-dasar yang kerajaan akan putuskan. Nanti timbul pula tanggapan ada dasar kerajaan yang tidak 'mesra' orang Cina," katanya.

Comments