Sokongan pengundi Paroi terhadap pembangkang kini semakin pudar



Turun bertemu rakyat bukanlah untuk bermegah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi adalah tanggungjawab Barisan Nasional (BN) mendengar kehendak rakyat untuk diberi perhatian segera.

Calon BN kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paroi, Mohd. Ghazali Abd. Wahid berkata, antara pendekatan yang dilakukannya ialah mendengar, mencatat dan bertindak terhadap mana-mana keperluan yang perlu disegerakan.

"Pertama, kita mesti hormat kepada penduduk. Janganlah semasa berkempen, kita terus meninggi diri. Pengundi perlu didekati dengan berhemah dan itulah prinsip saya," katanya ketika ditemui pemberita di Taman Tuanku Jaafar, dekat sini hari ini.

Tambahnya, tempoh terakhir berkempen akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk bertemu rakyat dan usaha meyakinkan mereka memilih BN Ahad ini.

"Sokongan pengundi terhadap BN amat positif. Tambahan pula dasar, transformasi dan manifesto BN yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah semakin sebati dalam diri rakyat," katanya.

Beliau yang merupakan bekas kakitangan syarikat telekomunikasi gergasi negara, Telekom Berhad (TM) negeri ini berkata, jentera BN telah lama digerakkan dalam kawasan DUN Paroi dan kali ini akan diperkuat dengan nilai-nilai kepimpinan yang berdasarkan syarak.

"Inilah masanya untuk kita menjadikan BN sebagai platform memperkukuhkan silaturrahim antara pemimpin dan rakyat, sekali gus membuktikan kepada pembangkang BN adalah parti yang menyatukan penduduk dan semua kaum," tegasnya.

Dalam majlis di Taman Tuanku Jaafar (TTJ) itu, beliau turut meraikan Kawasan Rukun Tetangga TTJ Fasa 3 Zon A yang mempunyai sebanyak 333 buah rumah dengan jumlah penduduk sekitar 1,500 orang selepas muncul johan Konvensyen COMBI peringkat negeri kategori poster baru-baru ini.



Comments