[Bandar mudah ekses.. Allhamdulillah, syukur..] Sistem komputer awam NS


SEREMBAN  - Satu sistem pengkomputeran awam akan dibangunkan di negeri ini untuk capaian semua agensi kerajaan bagi memperoleh data dan penyelesaian konflik secara total sebaik sahaja pengisian keperluannya diperincikan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara itu sedang diperhalusi bersama pakar dari syarikat teknologi IBM termasuk mewujudkan hanya satu platform yang boleh diakses secara total tanpa ada lagi zon penampan dalam kalangan agensi kerajaan.

"Ketika ini agensi kerajaan mempunyai sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang dibangunkan secara bersendirian. Apa yang kita perlukan ialah satu sistem yang boleh digunapakai serta dapat diakses oleh semua rangkaian agensi kerajaan selain pada masa yang sama dapat dicapai oleh rakyat dalam urusan tertentu," katanya di sini hari ini.

Mohamad berkata demikian ketika mengulas kehadiran 14 pakar dari syarikat IBM yang berada di negeri ini berikutan kejayaan Negeri Sembilan terpilih daripada 30 buah bandar dan negeri di dunia untuk menerima geran pembangunan berjumlah AS$400,000 dari syarikat tersebut di bawah geran Cabaran Bandaraya Pintar IBM.

Kata beliau lagi, di akhir pelaksanaan nanti, agensi kerajaan akan berkomunikasi sesama mereka melalui talian, begitu juga rakyat yang mahu berurusan dengan kerajaan akan menggunakan kaedah yang sama seiring dengan wujudnya gelombang e-kerajaan.

"Kita tidak mahu tergesa-gesa dalam pelaksanaannya apatah lagi dalam hal berkaitan mengubah dan meningkatkan sistem ICT ini kerana kosnya adalah tinggi.

"Kita mesti tahu apa pengisiannya, kandungan dalam sistem pengkomputeran, keperluan dalam talian, bentuk komunikasi yang hendak digunapakai termasuk keselamatan data. Kemudian kita gariskan kapasitinya. Idea inilah yang kita kemukakan kepada pakar dari IBM," jelasnya.

Mengulas maklum balas yang diperoleh daripada pakar teknologi IBM tersebut, Mohamad memberitahu, mereka teruja dengan dasar yang amat mantap dilakukan kerajaan negeri dan mahu bersama-sama membantu memastikan agenda berkenaan diteruskan demi pembangunan mapan Negeri Sembilan.

"Hasil cadangan dan rumusan itu, maka mulai tahun hadapan kerajaan negeri akan mempertingkatkan keupayaan sistem ICT kerana ia adalah nadi kepada kejayaan dasar berkenaan. Ini juga adalah cadangan yang dikemukakan oleh pakar dari IBM," ujar beliau.

Justeru katanya, dalam pembentangan Bajet 2014 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak lama lagi, akan ada satu keperluan belanjawan berkaitan peningkatan ICT ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.

"Kehadiran pakar dari 14 negara dalam pelbagai bidang adalah peluang terbaik untuk memperoleh input dalam meningkatkan ekonomi dan ICT di negeri ini.

"Apa yang diharapkan ialah melalui peningkatan teknologi ini kelak, ia juga akan mengambil kira kekuatan pada pelayan, kapasiti penyimpanan data serta kelajuan akses untuk memudahkan perkara berkaitan penyerahan dokumen besar dilakukan dalam talian dengan lebih cepat dan efisien," kata Mohamad.


Artikel Penuh :
 http://n9kini.com/sistem-komputer-awam-ns/

Comments