[Nak jadi pembahas kek sinia.. siap sekali fakta.. nih main hayun melontung yoh.. apo barang.. apohal nak cakap hebat kek FB yoh..]
Para pembahas pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini akan diberikan lebih kebebasan dalam menyuarakan sebarang isu bagi membolehkan mereka mengupas satu-satu perkara dengan lebih mendalam.
Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sebagai sebuah parti yang mengamalkan ketelusan, pihaknya tidak akan menyekat para pembahas menyentuh apa jua isu walaupun melibatkan dasar parti serta kerajaan, asalkan dilakukan secara bertanggungjawab.
Beliau berkata, tidak salah untuk pembahas-pembahas menjadi vokal tetapi paling penting perbahasan mereka perlu disandarkan dengan bukti serta fakta yang benar.
“Melalui perbahasan juga dapat memberi gambaran kepada pucuk pimpinan mengenai perasaan ahli-ahli di peringkat akar umbi sama ada mereka gembira atau kecewa terhadap keadaan yang berlaku kepada parti, kerajaan mahu pun negara,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Kongres Minyak Sawit Antarabangsa di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai persiapan untuk mengadakan Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan bermula 2 Disember depan.
Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, sungguhpun diberikan lebih kebebasan, para pembahas tetap tertakluk kepada beberapa panduan yang telah ditetapkan supaya perbahasan tidak lari daripada landasan.
“Walau apa pun pendekatan ini, (beri lebih kebebasan) akan membolehkan para pembahas mengupas satu-satu isu dengan lebih mendalam.
“Dahulu pun bebas cuma kali ini kita mahu para pembahas atau jurucakap yang akan membentangkan dan membahaskan usul mempunyai keupayaan untuk mengupasnya secara lebih terperinci,” katanya lagi.
Antaranya menurut beliau, mengenai baik atau buruknya sesuatu perkara, sekali gus akan membuatkan masyarakat umum melihat UMNO itu sebagai parti yang telus, masih relevan, terbuka dan sedia mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
Ditanya jangkaan isu yang akan ditimbulkan Muhyiddin berkata, beliau menjangkakan pihak pembahas akan membangkitkan perkara berkaitan pemilihan parti baru-baru ini.
Comments