Sejarah stesen keretapi Kuala Pilah

Assalamun alaikum wth,

kepada pembaca terutamanya dari Kuala Pilah, atau berasal dari Kuala Pilah. Mungkin satu ketika kita berasa amat bangga dengan pencapaian terbaik yang pernah berlaku di kawasan kita.

Walaupun sebilangan daripada kita ada yang berselisih pendapat mengenai kejayaan ini, namun semoga difikirkan dari sisi lain juga kenapa stesen keretapi atau laluan keretapi sudah tiada di daerah kita. 

Sesungguhnya, keputusan DYMM Almarhum Tuanku Muhammad Shah ibni Almarhum Tuanku Antah Syah, merupakan satu keputusan yang tepat ketika itu. Semoga kita redha dengan keputusan Almarhum Tuanku demi menjaga rakyat jelatanya ketika itu.

Mungkin dengan kepimpinan Kuala Pilah hari ini, boleh memikirkan ikon dan mercu tanda baharu yang bersesuaian dengan zaman globalisasi tanpa sempadan. Tanpa kita sedari bahawa tempat kita, kampung kita, daerah kita mempunyai pelbagai institusi pendidikan telah wujud umpama cendawan tumbuh selepas hujan.

Insha Allah, kita boleh berbangga dengan pencapaian ini, dan ketahuilah, dengan izin Allah juga, satu ketika dan masanya nanti akan wujud pula Universiti As-Sofa (yang bakal meletakkan Kuliyyah Al-Azhar (yang mengambil silibus dari universiti terkenal dunia itu) di Ulu Bendul (Seri Menanti), setelah perjanjian telah ditermeterai  antara Kementerian Tinggi Pelajaran dan Kerajaan Negeri. Kita tetap kena sabar untuk menanti saat dan ketikanya pembinaan tersebut dizahirkan dan menjadi kenyataan.

Malah DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Mukhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir telah memperkenankan tanah baginda bagi tujuan tersebut.

Anda mungkin tidak sependapat dengan saya, tapi saya yakin dengan keyakinan dan berdirinya saya dengan pemikiran dan prinsip saya sendiri.. apa yang sedang berlaku dalam negeri kita ini, terutamanya di Kuala Pilah, satu masa nanti waris selepas kita akan berbangga dengannya.

Saya kekal bangga menjadi anak Kuala Pilah, apa lagi berasal dari Seri Menanti.. dan saya tidak pernah berubah untuk percaya dengan diri sendiri.

Semoga persahabatan dan ukhwah terjalin erat sesama kita walaupun berbeza pandangan dan pendapat.. 

Tinta Jambu

Artikel diambil  dari n9kini.com 

KUALA PILAH  - Kereta api mula diperkenalkan pihak British di Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dengan tujuan bagi mempercepatkan pengangkutan bijih timah dari kawasan perlombongan ke pelabuhan yang terletak di kawasan pantai barat semenanjung tanah air ketika itu.


stesen ketapi K pilah

Dua individu yang bertanggungjawab di atas pembinaan jalan kereta api di Tanah Melayu pada masa itu ialah ialah Residen British, Sir Frank Swenttenham dan Sir Hugh Low.

Landasan kereta api pertama dibina oleh Low di negara adalah di Taiping-Port Weld manakala di Selangor, Swenttenham membina sebuah landasan kereta api menghubungkan Kuala Lumpur – Port Swettenham (Kuala Klang) serta Seremban – Port Dickson.

Namun begitu, ramai dalam kalangan umum terutamanya generasi muda termasuk penduduk di sekitar Kuala Pilah hari ini tidak pernah tahu mengenai kewujudan perkhidmatan pengangkutan kereta api di daerah ini.

Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Datuk Dr. Mohd. Rosli Saludin yang sedang menjalankan kajian berhubung sejarah negeri ini, landasan kereta api Kuala Pilah- Bahau sepanjang 21.7 kilometer (km) itu mula dibuka pada 4 April 1910.
‘‘


Laluan itu telah dirasmikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu, Almarhum Tuanku Muhammad Shah Ibni Almarhum Tuanku Antah.

‘‘Seperti perkhidmatan kereta api di tempat lain di Tanah Melayu pada masa itu, keretapi ini digunakan untuk membawa barangan komoditi seperti getah, hasil pertanian dan emas selain membawa penumpang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, di sini baru-baru ini.

Jelasnya, perkhidmatan kereta api yang menggunakan enjin wap itu mempunyai stesen perhentian bermula dari Stesen Bahau, Kuala Jempol, Juasseh dan Pelangai sebelum sampai ke pekan Kuala Pilah.
‘‘
Bagaimanapun, kereta api enjin wap yang menggunakan bahan bakar arang batu itu telah ditamatkan perkhidmatannya menjelang Perang Dunia Kedua kira-kira pada tahun 1939.
‘‘
Walaupun perkhidmatan kereta api ini telah lama ditamatkan tetapi kesan peninggalan beberapa bangunan Stesen kereta api Kuala Pilah ini masih lagi dapat dilihat hingga ke hari ini,” katanya.

Katanya, tempat menjual tiket masih ada lagi dan kini sudah menjadi tempat menjual akhbar, manakala sebuah bangunan yang dulu menjadi tempat membaiki gerabak kini dijadikan premis perniagaan yang disewa oleh pengusaha kedai makan dan syarikat percetakan.

‘‘Selain itu salah satu kesan yang nyata dapat dilihat adalah menerusi bekas landasan kereta api ini dan kini sudah ditar menjadi laluan alternatif menghubungkan Kuala Pilah dengan Bahau melalui beberapa buah perkampungan seperti Kampung Sawah Lebar dan Kampung Pelangai,” katanya.

Katanya, kereta api di Kuala Pilah turut membawa hasil bijih timah yang terdapat di Parit Tinggi, Kayu Ara di Jemapoh dan beberapa hasil hutan seperti damar dan padi
Segala hasil ini dikutip dari kawasan pedalaman dan akan dibawa menggunakan kereta lembu sebelum diangkut menaiki kereta api untuk dibawa ke Bahau.
Sesungguhnya laluan ini adalah laluan terpenting pada ketika itu dan menjadi tarikan penting kepada British dan juga penduduk Kuala Pilah- Bahau,”ujarnya

Tegas Mohd. Rosli, laluan keretapi Kuala Pilah- Bahau menunjukkan bahawa Kuala Pilah merupakan pekan yang maju dari segi kegiatan ekonomi pada ketika itu
Landasan itu bukan sahaja membawa keuntungan kepada Inggeris malah penduduk Kuala Pilah sendiri.

‘‘Ini termasuk kewujudan Pekan Rabu yang menjadi lokasi penjualan hasil tempatan dari kawasan pedalaman. Pekan Rabu ini wujud di tepi sepanjang landasan di Pekan Pelangai sekarang,” katanya.

Bagaimanapun beliau memberitahu, perkhidmatan kereta api itu terpaksa ditutup pada 1929 apabila Tuanku Muhammad bertitah lombong yang dibuka di Parit Tinggi dan Jemapoh banyak merosakan tanaman padi serta menjejaskan alam sekitar.

‘‘Ia turut diakui oleh pihak British dan pada zaman pemerintahan Jepun sekitar tahun 1945 besi-besi landasan kereta api Kuala Pilah- Bahau telah dipunggah untuk dibawa ke Burma bagi membina landasan kereta api maut,” jelasnya.

Sehubungan itu, Mohd. Rosli berharap agar peninggalan bangunan dan bekas stesen di Kuala Pilah itu dapat dipelihara kerana ia merupakan tinggalan sejarah negara ini.

‘‘Saya juga ingin mencadangkan agar pembinaan sebuah Muzium kereta api Kuala Pilah dapat dilakukan sebagai satu tarikan pelancong.

‘‘Kita tidak mahu kesan sejarah ini pupus kerana pembangunan yang pesat. Kita wajar belajar menghargai monumen sejarah dan pelihara tempat bersejarah ini,” katanya.

Comments