[Tahniah hoki negara] Jangan samakan hoki dan bola sepak

alt
Skuad hoki lelaki dan wanita negara berada dalam kelasnya tersendiri apabila meraih emas pada Sukan SEA ke-27 Myanmar.

Bukan sekadar mempertahankan kejuaraan masing-masing, skuad negara juga sukar ditandingi apabila cemerlang dengan rekod kemenangan tanpa kalah dan mencatat kemenangan besar dalam semua perlawanan.

Pada perlawanan pusingan awal, skuad hoki lelaki membelasah Vietnam dan Thailand kedua-duanya dengan 13-0, kemudian menewaskan Singapura 6-0 dan muncul juara kumpulan dengan mengalahkan pasukan tuan rumah 11-0.

Pada final, skuad lelaki tidak berdepan masalah untuk membawa pulang pingat emas dengan menewaskan Singapura 5-0.   

Bagi Jurulatih kebangsaan Tai Beng Hai, anak buahnya merupakan skuad berpengalaman walaupun terdiri daripada pemain senior dan remaja.  

Katanya, selaku pasukan pilihan, skuad negara perlu menjaga standard kualiti sukan hoki negara di persada antarabangsa walaupun tidak mempunyai tekanan untuk beraksi pada temasya dwitahunan kali ini.   

"Kita menjaringkan gol yang banyak, memang standard pasukan kita jauh lebih baik berbanding negara lain di Asia Tenggara, jadi kita perlu menjaga kualiti itu.

"Sekiranya kita tidak mampu menunjukkan permainan sebenar, reputasi pasukan negara akan terjejas, kehadiran pasukan kita juga dapat memberi pendedahan terbaik buat negara di Asia Tenggara," katanya.

Turut cemerlang ialah skuad wanita bimbingan jurulatih negara Mohd Nasihin Nublin Ibrahim yang wajar diberi pujian dengan mencipta rekod dunia dengan jaringan sebanyak 36 gol ketika menentang Kemboja pada perlawanan pusingan awal.

Pada perlawanan pusingan awal, skuad negara mencatat kemenangan pertama dengan menewaskan Myanmar 6-0, kemudian membelasah Kemboja 36-0. Skuad negara juga mencatat kemenangan menentang Singapura 8-1 dan menundukkan Thailand 6-0 sebelum muncul juara kumpulan mengalahkan Indonesia 10-0.

Skuad hoki wanita meraih pingat emas dengan menewaskan Thailand 6-1 dalam perlawanan final, pada Jumaat.

Bagi Mohd Nasihin, kejayaan negara melakar sejarah dengan mencipta rekod dunia dan mempertahankan pingat emas merupakan kenangan manis baginya bersama skuad negara.

Katanya secara keseluruhan skuad negara telah melakukan tugas masing-masing dengan cemerlang dan mahu skuad wanita negara terus mempertingkatkan prestasi di peringkat yang lebih tinggi.

Comments