KUALA LUMPUR - Setiap penghinaan terhadap Jalur Gemilang
atas alasan apa sekali pun tidak boleh dipandang remeh kerana ia melibatkan
lambang tertinggi negara.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Fairuz Jamaludin berkata,
sehubungan itu, pihak berkuasa harus menyiasat kesalahan berkaitan mengikut
Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) (Pindaan 2017).
Menurutnya, jika disabitkan kesalahan seperti di bawah
Seksyen 3, maka seseorang itu boleh dikenakan denda sehingga RM12,000 atau
dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
“Isu yang terjadi ini bukan isu perkauman atau agama
tetapi ia menyentuh isu penghinaan kepada rakyat Malaysia iaitu kita semua,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sebelum ini, seorang ahli perniagaan terkenal, Tan Sri
Lee Kim Yew dikritik hebat oleh warga maya yang menyifatkan beliau sebagai
biadab kerana menukar warna putih pada Jalur Gemilang kepada warna hitam.
Kim Yew bagaimanapun memohon maaf berhubung kontroversi
jalur putih pada Jalur Gemilang yang ditukar warna kepada hitam sebagai tanda
protes terhadap pelaksanaan pengajaran Jawi di sekolah jenis kebangsaan.
Sementara itu, tegas Fairuz, setiap rakyat perlu sedar
bahawa setiap yang berada pada bendera Jalur Gemilang mempunyai maksud yang
sangat mendalam.
“Tindakan (Kim Yew) yang dilakukan itu tidak beradab
kerana menghina satu lambang yang menjadi kebanggaan rakyat Malaysia. Bahkan,
Jalur Gemilang disematkan dengan semangat sayang, cinta dan hormat pada
negara,” katanya. -UTUSAN ONLINE
Comments