E-Skoba - #MenujuPRU15 > Ambil tindakan individu hina tentera


IPOH  - UMNO Perak kesal terhadap kenyataan ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang menyifatkan anggota tentera tidak berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur.
Pengerusi Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, kenyataan Yew Yin bahawa anggota tentera juga tidak pernah melepaskan sebarang tembakan kecuali di lapangan sasar merupakan satu penghinaan.
Menurutnya, sedangkan tentera adalah barisan hadapan pertahanan negara serta tonggak kesejahteraan dan keamanan yang dinikmati hari ini.
"Tanpa tentera, kekayaan yang dikumpul oleh Yew Yin selama ini tidak akan dapat dinikmati. Janganlah dipandang hina anggota pasukan keselamatan yang berjuang mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara setiap masa.
"Kerajaan perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang menghina anggota pasukan keselamatan.
"Perkara sebegini jika dibiarkan berlarutan akan mengancam kemurnian negara yang dipertahankan sejak merdeka lagi," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Saarani turut mempertikaikan sindrom membisu Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekas-bekas tentera seperti Patriot yang selama ini mendakwa mempertahankan ahli-ahlinya.
Katanya, sebelum ini Patriot amat lantang bersuara mempertahankan anggota serta bekas tentera.
"Malangnya apabila anggota tentera dihina sebegini rupa, mereka seolah-olah hilang keberanian untuk bersuara mempertahankan ahli-ahli mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments