KUALA LUMPUR - DAP perlu dipersalahkan ekoran dari
kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggelar Persatuan
Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong). sebagai rasis.
Pengerusi Pemuda MCA, Nicole Wong berkata, lebih dua
minggu sejak isu khat berlaku menteri dari DAP gagal menyuarakan kegusaran
ramai pihak melalui kaedah yang betul.
Ujarnya, keadaan itu memberi gambaran kepada Kabinet
bahawa ramai bersetuju dengan tindakan pengenalan khat dan hanya Dong Zong yang
membantah.
"Sekiranya Timbalan Menteri Pendidikan dan menteri
DAP bersepakat berbanding membantah tulisan khat, dengan membawa suara
masyarakat ke meja rundingan perkara itu lebih efektif dalam mengenengahkan
pendidikan Cina," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Dr. Mahathir menyifatkan Dong Zong sebagai
satu pertubuhan yang rasis.
Tegasnya, sifat rasis tersebut jelas terbukti apabila
persatuan terbabit tidak pernah bersetuju dengan dasar pendidikan negara
termasuk idea penubuhan Sekolah Wawasan sebelum ini.
Menurut beliau, sikap degil Dong Zong juga dapat dilihat
apabila pertubuhan itu masih membantah pembelajaran tulisan Jawi dan khat di
sekolah-sekolah vernekular meskipun keputusan tersebut telah diluluskan
kerajaan terdahulu pada tahun 2012. - UTUSAN ONLINE
Comments