KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak dilihat tidak gemar dengan tindakan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu
yang dianggapnya cuba membangkitkan soal perkauman ekoran kecaman terhadap
individu yang memperlekehkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ia susulan tindakan warga maya yang mengecam ahli
perniagaan, Koon Yew Yin apabila dilaporkan berkata anggota tentera tidak
berbuat apa-apa sebaliknya hanya makan dan tidur.
Kata Najib, secara am beliau bersetuju dengan kenyataan
Mohamad bahawa penghinaan terhadap angkatan tentera tidak patut dijadikan isu
perkauman.
“Tetapi saya tidak setuju dengan cubaan Mat Sabu untuk
menjadikan ini sebagai isu perkauman dengan menyoal kenapa netizen (warga maya)
hanya melenting dengan kenyataan Yew Yin dan kononnya membisu dengan kenyataan
bekas Ketua Menteri Sabah, Harris Salleh.
“Mat Sabu seperti tidak faham atau buat-buat tidak faham
kenapa. Netizen marah kerana Yew Yin menuduh tentera hanya tahu makan dan tidur
sahaja dan patut menggantikan pekerja asing di ladang,” kata Ahli Parlimen
Pekan itu dalam akaun Facebook beliau hari ini.
Semalam, Menteri Pertahanan itu melihat tindakan warga
maya yang lebih mengecam Yew Yin berbanding kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah
seolah-olah sikap perkauman.
Najib bagaimanapun cuba membandingkan kenyataan yang
dibuat oleh Yew Yin dengan Harris berdasarkan beberapa laporan media.
Katanya, kenyataan Harris ialah beliau mahu kerajaan
mengkaji semula peranan angkatan tentera dan dengan menggunakan hanya bilangan
dan aset yang diperlukan untuk melindungi sempadan negara sementara yang lain
boleh digerakkan untuk membantu kerajaan meningkat dan menstabilkan ekonomi
kampung luar bandar.
“Antara cadangan Harris masa itu ialah supaya tentera
boleh menggantikan pekerja asing sebagai pegawai keselamatan di sekolah
manakala tentera wanita boleh menolong membersihkan rumah-rumah luar bandar
serta menjalankan kursus yang berguna untuk penghuni luar bandar.
“Tidak seperti Yew Yin, Harris tidak tuduh askar adalah
pembaziran wang cukai rakyat dan hanya tahu tidur dan makan sahaja,” dakwa
Najib.
Kata bekas Perdana Menteri itu lagi, jika dikaji sudah
tentu kenyataan Harris Salleh tidak begitu kontroversi berbanding penghinaan
Yew Yin yang menuduh tentera hanya tahu makan dan tidur sahaja.
“Itulah sebab tidakramai netizen marah terhadap Harris,
termasuk Mat Sabu sebagai Menteri Pertahanan yang turut membisu masa itu. Mat
Sabu, jangan cuba hendak putar belit ini menjadi isu perkauman dan hendak
salahkan netizen pula,” kata Najib.
Yew Yin bagaimanapun ketika dihubungi Utusan Online
baru-baru ini telah memohon maaf kerana mengeluarkan kenyataan tersebut dan
meminta maaf terutama kepada anggota tentera yang tersinggung dengan
kenyataannya itu. - UTUSAN ONLINE
Comments