KOTA KINABALU - Kerjasama semua parti kerajaan di Sabah
sangat penting untuk memastikan kerajaan terus kukuh dan stabil, kata Ketua
Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Warisan
Sabah (Warisan) berkata, persefahaman dalam kalangan parti kerajaan perlu
dipertingkatkan demi memajukan lagi negeri ini.
"Kalau ada kerjasama dan persefahaman maka kerajaan
dapat menuntut hak-hak Sabah...apa yang penting dan kita beri keutamaan adalah
keperluan rakyat Sabah dan sebagai kerajaan yang stabil kita akan teruskan
tuntut hak-hak berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena
Majlis Ulang Tahun Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO),
di sini malam tadi.
Turut hadir, Presiden UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius
Tangau;?Presiden Kehormat UPKO Tan Sri Bernard Giluk Dompok dan pengerusi
penganjur acara berkenaan Setiausaha Agung UPKO Nelson Angang.
Parti kerajaan yang sama-sama membentuk kerajaan baharu
di Sabah selepas pilihan raya umum lepas adalah PKR, DAP, UPKO dan Warisan.
Kini Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) telah melebarkan sayap di negeri
ini sejak April lepas, sekali gus menjadi salah satu parti kerajaan di Sabah.
Sementara, itu beliau berkata, banyak cabaran dan
rintangan yang perlu ditempuhi untuk memastikan sesebuah parti terus kekal
relevan.
"Saya tahu banyak cabaran yang dihadapi
UPKO sejak ditubuhkan namun parti ini telah berjaya melahirkan ramai pemimpin
sama ada di peringkat negeri dan Persekutuan. Contohnya Dompok yang pernah
menjadi Ketua Menteri Sabah dan menteri di peringkat Persekutuan,"
katanya. - BERNAMA
Comments