KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad
Hasan mendesak supaya Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik meletakkan jawatan
ekoran kegagalan memperkukuhkan kedudukan bahasa Melayu dalam isu pelaksanaan
tulisan Jawi.
Jelas Mohamad, Menteri Pendidikan mempunyai tanggungjawab
Perlembagaan bukan sahaja memperjuang dan mempertahankan kedudukan bahasa
Melayu tetapi turut memperkukuhkannya.
“Anda telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawab
Perlembagaan ini. Saudara mesti mengambil pertanggungjawaban atasnya.
“Saudara tahu apa yang wajar dilakukan dan demi tanah air
ini, saya mendesak saudara berundur dengan hormatnya,” katanya menerusi
hantaran dalam akaun Facebook miliknya hari ini.
Mohamad yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Rantau sementara itu berkata, keputusan Kabinet Pakatan Harapan (PH) untuk
meneruskan pelaksanaan tulisan Jawi di sekolah vernakular tetapi hanya setelah
mendapat persetujuan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) adalah paling tidak
munasabah.
“Ini adalah keputusan paling tidak munasabah, tiada
rasionalnya dan tidak selari dengan semangat Perlembagaan, ia adalah jalan mati
untuk Jawi dalam sistem sekolah tersebut. Melihat sikap chauvinis pendukung
sekolah vernakular dalam isu ini, tiada PIBG yang akan memberikan persetujuan
untuk ia dilaksanakan.
“Di mana
rasionalnya kurikulum Kementerian Pendidikan memerlukan persetujuan PIBG untuk
di laksanakan. Apa peranan PIBG dalam memenuhi objektif pembelajaran dan
pengajaran?,” soalnya lagi.
Menurut Mohamad, keputusan Kementerian Pendidikan
tersebut juga telah menyakinkan semua pihak bahawa isu tulisan Jawi ini adalah
sandiwara PH untuk mengalihkan perhatian rakyat terhadap isu hakiki yang
menghantui tanah air sekarang ini.
“Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ingin jadi
juara kepada orang Melayu sementara DAP pula mahu dilihat sebagai pejuang
sebenar kepentingan bangsa Cina. Kedua-dua gagal dalam pementasan mereka kali
ini.
“Akhirnya yang menang ialah Dong Jiao Zong, pertubuhan
yang digelarkan rasis oleh Perdana Menteri. Desakan Dong Jiao Zong telah
menyebabkan tersungkurnya semua anggota jemaah Menteri dalam mempertahankan
wibawa sistem Pendidikan Nasional,”katanya.
Menurut Mohamad lagi, tidak pernah terjadi dalam sejarah
pendidikan negara, sistem pendidikan dipolitikkan seperti apa yang telah
berlaku.
“PH telah tunduk kepada desakan Melayuphobia dan
Islamophobia yang dijuarai oleh DAP dan penaungnya, Dong Jiao Zong,” katanya. -
UTUSAN ONLINE
Comments