PASIR PUTEH - Pemuda UMNO Bahagian Pasir Puteh bersama
Pemuda Pas Kawasan Pasir Puteh hari ini membuat laporan polis terhadap lima
individu kerana dikatakan membuat fitnah terhadap penceramah antarabangsa, Dr.
Zakir Naik.
Mereka membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat Polis
Daerah (IPD) Pasir Puteh, di sini hari ini.
Lima individu terbabit ialah Ahli Parlimen Klang, Charles
Santiago; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam,
M. Satees; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P.Ramasamy;
Bekas duta, Dennis Ignatius dan Menteri Sumber Manusia M. Kulasegaran.
Ketua Pemuda UMNO Pasir Puteh, Muhammad Saifullah Ali
berkata, kenyataan lima individu terbabit boleh dianggap berniat jahat apabila
menyebarkan fitnah yang tidak berasas di media sosial.
Kami yakin dakwaan dibuat mereka menyebabkan ramai rakyat
Malaysia terpedaya dan keliru terhadap maksud sebenar Dr. Zakir Naik. Ia
disengajakan digembar-gembur sebagai modal politik pemimpin DAP dan PKR.
"Kami memohon polis membuat siasatan dan mengambil
tindakan terhadap penyebar fitnah. Sekarang seolah-olah sudah menjadi amalan
mereka terutama DAP untuk menguji kesabaran umat Islam di Malaysia,"
katanya ketika ditemui.
Muhammad Saifullah yang juga Ketua Briged Kesatria Muda
Pemuda UMNO Kelantan berkata, pihaknya berharap polis dapat membuat siasatan
secara telus tanpa memilih bulu.
"Ini demi memastikan gerakan mencanang isu yang
boleh menggugatkan keharmonian kaum dapat diatasi," katanya. - UTUSAN
ONLINE
Comments