KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak malam tadi berkongsi cerita tentang satu ‘mesej’ untuknya daripada
penembak hendap di ibu pejabat UMNO Pekan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU-14).
Beliau berkata, ‘mesej’ tersebut dihantar menerusi
tingkap pejabatnya menggunakan senapang jarak jauh pada kedudukan 200 meter.
Sehingga hari ini pengirim peluru itu masih bebas.
“Setahun lebih sebelum PRU ada penembak tepat kirim
peluru ke bilik saya di UMNO Pekan,” katanya dalam program bual bicara anjuran
UMNO di ibu pejabat parti itu malam tadi.
Cerita luar biasa itu dikongsikan ketika beliau ditanya
tentang perubahan pendekatan politiknya sebelum dan selepas PRU-14.
Tambah Najib, beliau akui dirinya kini lain berbanding
ketika memegang jawatan kerajaan.
“Ada protokol yang perlu saya ikuti. Saya dikongkong
seolah-olah ada pagar mengelilingi saya, sedangkan itu bukanlah kehendak saya.
“Sekarang ini tidak mengapa, hendak letak tangan atas
bahu pun tidak ada masalah,” katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments