E-Skoba - #MenujuPRU15 > Perang dalaman PH, peluang terbaik UMNO kukuh perpaduan


KUALA NERUS - Pemimpin dan ahli UMNO diminta memanfaatkan situasi tegang membabitkan perang dalaman antara kem-kem dalam parti komponen Pakatan Harapan (PH) sebagai peluang terbaik untuk terus mengukuhkan perpaduan dan kekuatan dalam parti.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, seluruh saf kepemimpinan perlu bersatu dan jangan ada sebarang perpecahan yang boleh melemahkan parti mahu pun budaya cah keting sebagaimana dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.
Katanya, UMNO mempunyai kelebihan memandangkan pergolakan berterusan kerajaan PH ketika ini dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang secara terbuka dilihat bergaduh sesama sendiri antara kumpulan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
"Dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pun ada perang, begitu juga dengan Parti Amanah Negara (Amanah) yang turut mempunyai dua kumpulan. Itu tidak termasuk persengketaan antara Bersatu dan PKR membabitkan jawatan Perdana Menteri sekali gus memberi gambaran yang PH semakin lemah.
"Sepatutnya ini masa terbaik untuk kita rapatkan saf kesatuan. Kalau mereka berpecah, kita jangan berpecah kerana tidak ada untungnya kita lemah seperti mereka," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di dewan Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini hari ini.
Yang hadir sama, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ahmad Said di samping Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Apli Yusoff; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh dan Ketua UMNO Bahagian Besut, Nawi Mohamad.
Menurut Ismail Sabri, kekuatan gabungan UMNO dan Pas tidak akan bermakna jika aspek utama iaitu perpaduan dalam parti itu tidak diberi perhatian serius dalam menjayakan agenda untuk membentuk negara yang lebih kuat berbanding kerajaan PH.
Dalam perkembangan sama, katanya, PH hanya kerajaan setengah penggal kerana rakyat sudah hilang kepercayaan terhadap kerajaan yang diasaskan oleh fitnah dan penipuan semata-mata.
"PH mahu lihat UMNO berkubur, sebaliknya kita terus bangkit dan lebih kuat daripada PRU-14. Meraka yang di dalam UMNO adalah pejuang sejati dan setia, yang akan mempertahankan UMNO daripada sebarang bentuk bencana," katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments