KUALA LUMPUR - UMNO Sabah akan mengenalpasti
sekurang-kurangnya tiga calon yang berpotensi untuk dipertaruhkan sekiranya
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis diadakan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung
Moktar Radin berkata, bagaimanapun perkara tersebut akan diumumkan dalam tempoh
seminggu daripada tarikh PRK akan diadakan.
“Kami akan memuktamadkan nama itu selepas menerima maklum
balas daripada rakyat. Terdapat dua hingga tiga nama yang dikenalpasti dan
semuanya merupakan anak tempatan Kimanis.
“Walaupun kami tidak pasti jika akan ada PRK, namun UMNO
sentiasa bersedia untuk berdepan dengan cabaran ini,” katanya seperti dipetik
laporan FreeMalaysiaToday di sini hari ini.
Jumaat lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan bahawa
kemenangan Datuk Seri Anifah Aman di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14) adalah tidak sah dan terbatal.
Hakim Lee Heng Cheong berkata, keputusan tersebut dibuat
selepas pemeriksaan semula ke atas peti-peti undi mendapati terdapat
unsur-unsur manipulasi termasuk penambahan kertas undi secara tidak sah yang
melanggar undang-undang pilihan raya.
Dalam pada itu, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen
Kinabatangan berkata, keputusan untuk mempertahankan kerusi berkenaan
diputuskan dalam mesyuarat biro politik UMNO Sabah yang diadakan malam tadi.
Katanya, pihaknya juga telah mengarahkan semua sayap
parti iaitu pergerakan pemuda, wanita dan puteri UMNO bahagian itu untuk
mengaktifkan jentera pilihan raya di 19 pusat pengundian dalam kawasan
terbabit.
“Kami juga telah mengaktifkan 25 bahagian UMNO di seluruh
negeri ini untuk mula bekerja sekiranya berlaku PRK dan kami akan keluar untuk
memenanginya, “ katanya.
Dalam PRU14, Anifah memenangi kerusi itu dengan majoriti
tipis iaitu 156 undi, memperoleh 11,942 undi berbanding 11,786 yang diperoleh
calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang.
Karim mencabar keputusan tersebut mendakwa terdapat
unsur-unsur manipulasi oleh kem Barisan Nasional (BN) dan kertas undi dikira
sekurang-kurangnya empat kali. - UTUSAN ONLINE
Comments