KUALA LUMPUR –
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mengingatkan orang ramai supaya
tidak memutar belitkan ucapan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik berhubung
isu kesetiaan masyarakat Hindu dan masyarakat Cina adalah tetamu di negara ini.
Peringatan itu diberikan menerusi ciapan dalam akaun
Twitter rasminya di sini pagi ini sebagai membalas ciapan Menteri Belia dan
Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mempertikaikan ucapan Zakir tersebut.
“Jangan putar belitkan kenyataan penuh dan konteks ucapan
Zakir. Saya ikuti teks penuh ucapan yang panjang pada 8 Ogos lalu. Saya juga
hadir di stadium pada 9 Ogos lalu. Usah memfitnah,” tegasnya di sini hari ini.
Syed Saddiq menerusi ciapan dalam Twitter rasminya
semalam berkata, orang Cina Malaysia bukan tetamu tetapi warganegara yang
cintakan negara bertuah ini.
“Kekuatan Malaysia adalah terletak kepada kesatuan
rakyatnya. Cukuplah perlekehkan kesatuan dan kesetiaan kita. Saya kenal ramai
orang Cina dan India yang sanggup mati pertahankan negara tercinta kita,"
katanya.
Semalam, sebuah portal melaporkan kononnya Zakir
memberikan kenyataan pedas terhadap kaum Cina di Malaysia sebagai respons balas
atas gesaan pengkritiknya supaya beliau keluar dari negara ini.
Kenyataan itu dibuat pada satu syarahan di Kelantan,
Khamis lalu, dan beliau turut mengeluarkan kenyataan berkaitan penganut Hindu
yang menurutnya lebih percaya dengan Perdana Menteri India berbanding Malaysia.
“Kamu tahu tak yang ada orang yang panggil saya seorang
tetamu? Jadi saya kata, sebelum saya (datang), kaum Cina adalah tetamu. Jika
kamu mahu tetamu baru keluar dulu, minta tetamu lama pulang.
“Kaum Cina, kebanyakan dari mereka tidak lahir di sini,
mungkin generasi baru, ya (lahir di sini),” katanya.
Dalam pada itu, Zakir menerusi kenyataan semalam mendakwa,
kenyataan beliau berhubung isu kesetiaan masyarakat India di negara ini telah
disalah tafsir.
Menurutnya, terdapat pihak-pihak terdesak yang
menyaksikan ceramah beliau semata-mata mahu mencari kesalahan.
Namun ujarnya, mungkin mereka gagal mencari apa yang
dihajati maka pihak-pihak berkenaan telah bertindak melakukan perkara tidak
jujur. - UTUSAN ONLINE
Comments