IPOH - Ahli
perniagaan, Koon Yew Yin menarik balik kenyataan yang dibuatnya pada 12 Ogos
lalu yang mendakwa anggota tentera hanya makan dan tidur.
Beliau mengumumkan perkara itu dalam laman blog
kendaliannya hari ini sambil membuat permohonan maaf secara terbuka kepada
rakyat Malaysia.
Menurutnya, beliau kesal dan memohon maaf dengan seikhlas
hati kepada anggota tentera sama ada yang telah bersara atau yang masih
berkhidmat.
"Saya menyatakan anggota tentera Malaysia tidak
berbuat apa-apa selain makan dan tidur, keadaan ini tidak benar.
"Saya kesal dengan 'nada' yang saya gunakan dalam
kenyataan saya tempoh hari namun bukan niat saya untuk memfitnah atau
memperkecil-kecilkan anggota tentera.
"Saya menarik balik kenyataan saya dan meminta maaf
di atas kesilapan saya. Saya tidak pernah berniat mahu menghina anggota
tentera," tulis beliau dalam laman blognya hari ini.
Yew Yin turut menyatakan rasa bangganya menjadi rakyat
Malaysia dan sentiasa bersyukur dengan kesetiaan dan dedikasi anggota tentera.
Menurutnya, malah beliau pernah melalui zaman Perang
Dunia Kedua ketika kanak-kanak dan menyaksikan sendiri pengorbanan anggota
tentera mempertahankan rakyat dan negara tercinta.
Beliau berkata, maka adalah sesuatu yang bodoh untuk
beliau melupakan pengalaman yang dilaluinya itu semasa menulis artikel tempoh
hari.
"Kata-kata mungkin tidak cukup untuk menggambarkan
betapa saya memohon maaf. Sekali lagi saya ingin memohon maaf," katanya. -
UTUSAN ONLINE
Comments