Pertama, Lynas diluluskan bukan kerana Malaysia berhutang
atau bercadang untuk berhutang dengan Jepun.
YB Fuziah sama sekali tersasar. Kenyataan sedemikian
tidak tepat dan sangat berniat jahat. Keputusan untuk membenarkan Lynas
beroperasi di negara kita dibuat berpandukan kelebihan yang ada dalam sektor
yang melibatkan bahan nadir bumi (rare earth element). Ia mempunyai sifat bahan
yang unik dan digunakan dalam pelbagai aplikasi dan alat, selain membangunkan
industri seperti elektronik dan tenaga diperbaharui.
Kedua, Lynas diluluskan atas pertimbangan saintifik dan
perindustrian dengan mengambil kira kelestarian alam sekitar.
Perkara ini dijelaskan dalam dapatan Jawatankuasa Pilihan
Khas dan pemegang taruh mengenai Projek LAMP yang dibentangkan semasa Dewan
Rakyat Parlimen Ke-12 (Penggal Ke-5, Mesyuarat Ke-2) pada 19 Jun 2012 (Laporan
Jawatankuasa Khas). Pihak Jawatankuasa Pilihan Khas juga mencadangkan standard
kepatuhan berdasarkan amalan terbaik antarabangsa daripada kumpulan pakar demi
memastikan kepentingan awam dan kelestarian alam sekitar diutamakan.
Maklum balas yang diberikan adalah berdasarkan dapatan
saintifik, rujukan kepada beberapa pakar antarabangsa, lawatan ke tapak LAMP di
Gebeng dan sesi pendengaran awam (ms 27-28 Laporan Jawatankuasa Khas).
Ketiga, kerajaan Malaysia telah memperkenalkan peraturan
yang lebih ketat standardnya berbanding peringkat antarabangsa.
Jawatankuasa pada masa itu dimaklumkan bahawa kadar
anggaran pendedahan torium di projek LAMP adalah tidak signifikan (ms 32
Laporan Jawatankuasa Khas).
Keempat, Projek LAMP adalah projek pemprosesan bahan
berasaskan kimia dan bukannya sebuah loji berasaskan nuklear atau sesuatu
seumpamanya.
Ini adalah kekeliruan paling besar. Saya tidak pelik
kerana, individu seperti YB Fuziah sendiri sentiasa memilih untuk bersifat
pukul rata dalam memburukkan projek LAMP.
Sedangkan dalam projek ini, pendedahan kepada sinaran
radioaktif adalah sangat kecil dan tidak membahayakan. Dapatan saintifik
membuktikan bahawa pendedahan sinaran dari bahan mentah dan sisa buangan projek
LAMP adalah pada tahap yang dibenarkan dan terangkum dalam standard yang
dibenarkan seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di bawah PBB.
Kelima, wujud rujukan antarabangsa dan penubuhan
jawatankuasa yang bersesuaian.
Dalam kes ini, kepakaran IAEA telah dirujuk dalam mengkaji
aspek kesihatan dan keselamatan projek LAMP. Pada masa yang sama telah
ditubuhkan satu Panel Pakar Bebas Antarabangsa untuk memberi nasihat dan
dapatan mereka.
Yang penting, keputusan Kerajaan Pakatan Harapan untuk
memperbaharui lesen LAMP membuktikan bahawa keputusan Barisan Nasional sebelum
ini adalah tepat, berasas dan dipimpin oleh pertimbangan yang betul.
Namun, individu seperti YB Fuziah, terus-menerus menjadi
pakar sains dan menggunakan isu ini untuk berpolitik tanpa merujuk dan
mempertimbangkan pelbagai dapatan sahih yang telah dikemukakan oleh mereka yang
benar-benar pakar dalam bidang ini.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi
penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.
-UTUSAN ONLINE-
Comments