KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib
Tun Razak sekali lagi ‘mengusik’ kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianggapnya
gemar mengambil kredit daripada usaha yang dilakukan kerajaan terdahulu.
Kali ini, Najib menerusi status yang dimuat naik dalam
laman Facebook beliau hari ini mempertikaikan peranan kerajaan PH dalam Projek
Casa Anggun, iaitu satu daripada projek untuk rakyat yang dilakukan Barisan
Nasional (BN) sebelum ini.
Rasa tidak puas hati Najib itu timbul selepas kerajaan PH
menerusi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini hadir
dalam majlis penyerahan kunci bagi projek Casa Anggun kepada warga pemilik.
“Begitu besar sumbangan saudara dalam gambar ini (Mohamed
Azmin) yang identitinya tidak dapat dikenal pasti.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepadanya sebab saudara
ini menyerahkan kunci perumahan bagi sebuah projek yang saya, Najib Razak buat dahulu,” katanya dalam status tersebut.
Najib menambah, kerajaan BN dahulu berusaha untuk menyediakan kemudahan perumahan yang mencukupi, berkualiti dan selesa serta mampu
disewa atau dibeli oleh semua lapisan masyarakat.
Katanya, kerajaan PH hari ini pula berusaha
bertungkus lumus membuat majlis penyerahan kunci dan mengambil kredit atas
projek kerajaan BN dahulu. - UTUSAN ONLINE
Comments