Mahkamah Tetapkan 8 Jun Dengar Permohonan PKR Cabar Keputusan ROS




KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi menetapkan 8 Jun ini untuk mendengar permohonan awal Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS) membatalkan pendaftaran parti itu.

Pada Selasa, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Setiausaha Agungnya Saifuddin Nasution Ismail memfailkan permohonan kebenaran untuk semakan kehakiman dan menamakan ROS sebagai responden.

Jika mereka berjaya mendapatkan kebenaran itu, mahkamah akan mendengar hujahan substantif PKR berhubung kes berkenaan.

PKR juga diberi tempoh sehingga 9 Jun untuk mengemukakan surat tunjuk sebab kepada ROS mengapa parti itu tidak boleh dibubarkan.

Salah seorang peguam PKR Fadiah Nadwa Fikri memberitahu media tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Azrul Darus dan kes itu dijadual didengar di hadapan Hakim Abang Iskandar Abang Hashim.

PKR menfailkan permohonan itu berikutan notis bertarikh 9 Mei lepas yang dikeluarkan ROS bawah Seksyen 13(1) dan (2) Akta Pertubuhan 1966, untuk membatalkan pendaftaran parti itu.

PKR antara lain memohon satu perintah larangan terhadap ROS bagi menghalang ROS daripada meneruskan apa jua tindakan melalui notis untuk membatalkan pendaftaran parti itu sehingga permohonan semakan kehakiman itu selesai didengar.

PKR mendakwa notis yang dikeluarkan ROS itu adalah tidak sah dan dibuat di luar bidang kuasa memandangkan fakta-fakta dan asas undang-undang yang didakwa dalam notis itu tidak pernah wujud.

PKR mendakwa alasan bahawa parti tersebut melanggar Fasal 32.2.1 Perlembagaan Parti kerana memecat A. Rajagopal tanpa dibicarakan oleh Lembaga Displin parti terlebih dahulu tidak berlaku dalam parti itu kerana fasal tersebut tidak wujud dalam perlembagaan PKR.

Parti itu berkata tidak ada anggota yang bernama A. Rajagopal yang telah dipecat oleh Majlis Pimpinan Tertinggi PKR pada 2009.

Ia mendakwa keputusan ROS itu adalah sangat tidak adil, dibuat berdasarkan niat jahat (mala fide) dan bertujuan semata-mata untuk menghalang parti itu daripada mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.

- BERNAMA

Comments