Felda unjur RM1.5b jualan produk penerokanya pada 2011
TAWAU 16 April -- Felda mengunjurkan nilai jualan produk keluaran peneroka sebanyak RM1.5 bilion tahun ini, kata Timbalan Pengurus Besar Jabatan Pembangunan Usahawan Felda, Abidin Abd. Rahman.
Beliau berkata, hasil jualan produk peneroka Felda tahun lepas bernilai RM1.06 bilion, melebihi sasaran asal sebanyak RM1 bilion.
Abidin berkata, demikian ketika berucap sempena program Simposium & Ekspo Usahawan Felda (SIMEX), Wilayah Sahabat, di sini hari ini. SIMEX yang julung kali diadakan di Tawau.
SIMEX diadakan untuk mempromosi dan memasarkan produk peneroka Felda kepada masyarakat luar serta sebagai mekanisme mewujudkan jaringan perniagaan bersama usahawan lain.
Abidin juga berkata, pihaknya ingin menjadikan Felda sebagai hab produk halal di negara ini untuk memenuhi permintaan produk halal yang semakin meningkat di kalangan pengguna di Malaysia.
Beliau berkata, walaupun hasrat itu bukan satu perkara mudah untuk dicapai, namun ia juga tidak mustahil direalisasikan jika peneroka memiliki keazaman tinggi serta komitmen berterusan ke arah itu.
Sumber: Bernama
Comments