

KUALA KRAU 31 Mei - Lebih 80 peratus warga Felda dianggap wira kerana mereka mempertahankan agensi itu daripada tohmahan fitnah yang dilemparkan pembangkang.
Pengerusinya, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, keghairahan pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menabur fitnah di tanah rancangan perlu ditolak oleh masyarakat peneroka.
Tegasnya, golongan itu tidak mudah terpengaruh dengan mainan pembangkang yang hanya mahu meruntuhkan sokongan mereka kepada UMNO dan kerajaan.
"Sudah tiba masanya warga Felda yang setia berada di barisan hadapan supaya lebih agresif menjawab segala tohmahan yang membuktikan mereka tidak diperkotak-katikkan," katanya ketika berucap pada majlis kesyukuran bersama Pengerusi Felda di Felda Jengka 23, di sini baru-baru ini.
Mohd. Isa berkata, pembangkang dilihat bersungguh-sungguh memecahkan benteng penyokong kuat kerajaan di tanah rancangan kerana menganggap warga itu 'simpanan tetap UMNO'.
Beliau juga mengingatkan barisan kepemimpinan tanah rancangan sentiasa turun padang memainkan peranan menyalurkan maklumat tepat mengenai Felda kepada masyarakat peneroka.
"Kualiti kepemimpinan yang mesra penduduk di peringkat tanah rancangan akan membantu menaikkan peratusan sokongan rakyat kepada kerajaan pada pilihan raya umum akan datang," katanya.
Beliau kesal kerana ada warga Felda menyokong pembangkang hanya disebabkan perkara remeh tanpa mempedulikan kesan langsung terhadap generasi akan datang.
Sehubungan itu Isa turut menasihati golongan terbabit supaya jangan mendengar 'dentuman guruh di langit, air di tempayan dicurahkan' yang menyebabkan anak cucu menanggung beban akibat kebodohan diri sendiri.
Sumber : Utusan Online
Comments