Mengenang Masa Lalu
Pulau Pinang negerinya baru
Kapten Light menjadi Raja
Bila terkenang zaman dahulu
Duduk mengalir air mata
1. Pantun ini dikarang oleh “tukang karut” pasukan boria di Pulau Pinang di zaman British.
2. Kita jarang mendengar pantun ini sekarang, Tetapi semasa saya masih budak belasan tahun, saya sering mendengarnya. Sedikit sebanyak saya rasa sedih juga. Air mata tidak mengalir tetapi ia menghantui fikiran saya.
3. Orang Melayu Pulau Pinang pada zaman itu sudah hilang kedudukan mereka dalam pulau yang membangun dengan pantas hasil daripada pengisytiharannya sebagai pulau bebas cukai oleh British. Sementara deretan kedai dan rumah batu seperti mahligai diduduki oleh orang lain, mereka, orang Melayu terpaksa pindah melarikan diri daripada pembangunan bandaraya Pulau Pinang kerana tawaran untuk menjual hartanah mereka begitu tinggi, dan mereka semua miskin dan tidak mampu membeli atau menyewa bangunan kedai atau rumah kediaman yang didirikan, selepas menjual tanah mereka.
4.
Kemudian apabila pembangunan sampai ke kawasan di mana orang Melayu
telah lari, mereka sekali lagi menjual tanah dan berpindah jauh daripada
pembangunan.
5. Lama-kelamaan mereka tenggelam dalam masyarakat asing yang semakin bertambah dan mewah. Itulah nasib mereka, menjadi kumpulan orang yang terasing di negeri sendiri. Maka mengalirlah air mata mereka.
6. Sukar bagi mereka yang dilahir di zaman ini, zaman peluang bertimbun-timbun, zaman serba mudah, zaman tersohor bangsa Melayu, zaman kuasa di tangan Melayu, sukar bagi mereka menggambarkan kehidupan orang Pulau Pinang di zaman British.
7. Apa perlunya kita diperingati akan kedudukan orang Melayu Pulau Pinang di zaman itu? Sebenarnya tidak perlu. Setelah mencapai kejayaan, tidak mungkin kita ditimpa nasib orang Melayu Pulau Pinang.
8. Sekali berjaya tetap berjaya, sekali merdeka, tetap merdeka. Bukankah Hang Tuah telah berkata tak akan Melayu hilang di dunia. Ini jaminan yang diberi kepada bangsa Melayu. Kita akan terus Melayu walaupun hanya menjadi pemandu kereta, buruh kasar, budak pejabat. Kita Melayu juga. Tak perlu mengalir air mata.
Sumber : Tun M Blog
p/s : Di saat saya mula berfikir-fikir perasaan saya terhadap kuasa politik Melayu hari ini, saya teringat pemimpin yang menjadi idola saya sejak dari tahun 1984.
Saya masih ingat apabila saya baru saja memegang buku tulisan beliau 'Malays Dilemma', saya diherdik dan nyaris di tampar oleh abah.
Ketika itu, suasana politik juga sama seperti hari ini. Besar cabarannya.
Akhirnya, saya tetap habis baca buku 'Malays Dilemma' ketika saya berumur 9 tahun.
Saya juga pernah menonton Perasmian Persidangan CHOGM di rumah, ketika itu Malaysia sebagai tuan rumah.
Saya masih ingat, ketika saya bertanya kepada abah, "Apa itu CHOGM?" Sehingga hari ini, abah saya tidak pernah menjawab.
Saya tidak pernah langsung berminat dengan cerita politik di kala perkembangan hidup politik penuh ranjau dan duri (pengalaman karier politik abah saya).
Pernah abah melempang dan memaki hamun saya, ketika itu fenomena Anwar Ibrahim yang dipecat dari dalam UMNO.
Puncanya cuma satu, saya menulis sesuatu mempersoal dan menyokong Anwar Ibrahim di dalam buku conteng saya sendiri.
Kemudian lepas beberapa tahun, apabila saya menjadi ahli UMNO dan aktif bekerja membantu gerak kerja UMNO dan BN, barulah abah diam.
Saya dapat rasa dan faham perasaan abah selepas saya tidak lagi membantu pemimpin yang pernah saya bantu. Soalnya kenapa???
Jawapannya ialah itulah 'Hidup Politik'. Jawapannya ada melalui pengalaman kita sendiri. Terima kasih abah.
Apa pun saya tidak mahu melihat Negeri Sembilan menjadi seperti Pulau Pinang yang asalnya negeri orang Melayu, tetapi akhirnya di punya oleh bangsa asing juga.
Di sebabkan itu, sebagai generasi muda Melayu hari ini, pucuk pimpinan yang di dominasi oleh orang Melayu di Negeri Sembilan akan dibantu habis-habisan dengan usaha dan keringat.
Dato' Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan dan barisan kepimpinan yang berwibawa akan di bantu di PRU13 ini tanpa ragu.
Salam Perjuangan!!!
Tinta Jambu
Comments
Setuju.. mampukah kita perkasa dengan Melayu dgn Melayu pun sedang bertelagah?
Dalam masa yang sama Cina Cauvenis memang tunggu masa jer... Tun Tan Cheng Lock saja yg boleh berunding.. Cina sekarang ni memerhati saja dgn jerat dah dipasang melalui PAS / PKR...
Sampai masanya Melayu kena berfikir melalui prinsip 'blue ocean strategy'.. berapa ramai yg dapat keluar dr kepompong nilai diri..
Bahaya kedudukan Melayu hari ni..