BN tak patut leka dengan jelajah Hasan Ali
Jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN), khususnya Umno,
digesa tidak leka dengan kesan positif yang diperoleh hasil pendedahan
kepincangan Pas oleh Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.
Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim sebaliknya mahu jentera
itu meneruskan usaha mendekati rakyat kerana merekalah yang akan menentukan nasib parti dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
"Memang siri jelajah Dr Hasan banyak memberi faedah kepada BN, tetapi
kita tidak boleh leka sebaliknya terus mendekati rakyat kerana mereka
yang akan menjadi penentu kemenangan dalam pilihan raya nanti," katanya
kepada pemberita selepas merasmikan seminar pemantapan jentera
Pergerakan Wanita Umno bahagian Muar di Dewan Tun Sulaiman.
Beliau berkata tindakan bekas Pesuruhjaya Pas Selangor itu memberi
peluang kepada BN untuk menjelaskan dasar kerajaan kepada rakyat tanpa
halangan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu diminta mengulas perkembangan terbaru siri jelajah bekas Exco Selangor tersebut, yang didakwa mampu mengumpul sehingga 15,000 orang pada satu-satu ceramahnya.
"Pas terpaksa mengambil masa yang banyak untuk membuat penjelasan
kepada ahli mereka tentang perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dr
Hasan, dan ini memberi masa kepada BN untuk bekerja tanpa gangguan,"
katanya.
Bagaimanapun, Razali berkata ia tidak boleh dijadikan batu loncatan
sehingga BN berasa selesa kerana situasi PRU-13 adalah berbeza.
Beliau turut mengakui isu yang dibangkitkan Hasan akan membantu membuka
mata rakyat terhadap kebenaran perjuangan Umno iaitu untuk agama Islam,
bangsa Melayu dan memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu. - Bernama
Comments