Dr Rahman Kadir: Bukan calang orang yang semberono bercakap tanpa fakta sahih. Nampaknya Tian Chua dan Azmin Ali terperangkap!!! Check Mate!!!
Saya menulis artikel ini demi menerangkan kepada semua kenapa saya
tinggalkan PAS dan menepis fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada
saya dan rakan saya Nashrul Fazli.
Saya menyokong PAS sejak tahun 1996 semasa menuntut di Universiti
Malaya lagi. Nashrul menyokong PAS jauh sebelum itu sejak di sekolah
lagi. Kami berdua menjadi ahli PAS seumur hidup pada tahun 1997 ketika
usia kami 19 tahun.
Ingin saya tekankan bahawa tidak seperti majoriti rakyat Malaysia
yang menyokong atau mengenali PAS pasca pemecatan Anwar Ibrahim pada
1998, kami berdua sudahpun menjadi ahli PAS semasa PAS cumalah parti
kampung dan dijauhi oleh orang Melayu kerana imejnya yang ekstremis.
Kami menyokong PAS kerana PAS mengaku al-Quran dan Sunnah sebagai
perlembagaannya. Kami masuk PAS kerana sentiasa percaya bahawa Islam itu
adil. Justeru itu, kami berdua mengikuti usrah PMIUM kerana merekalah
proksi PAS di kampus. Kami bersungguh-sungguh mahu dikaderkan sebagai
ahli PAS, malah menarik ramai sahabat kami untuk bersama-sama berjuang
di dalam PAS.
Beberapa siri tamrin dijalankan oleh PMIUM dan kami istiqomah
mengikutinya. Kemuncaknya adalah sebuah Tamrin Panjang (TAMPAN) selama
satu minggu yang telah lama kami tunggu-tunggu kerana ia umpama graduasi
bagi anak-anak usrah elit yang terpilih menjadi kader PAS. Kami tahu
bahawa tamrin terakhir ini akan brutal dan telah bersiap sedia dari segi
mental untuknya berbanding dengan rakan-rakan kami lain yang mengalami
kejutan budaya.
Kami
redha menerimanya sebagai sebahagian dari proses pendidikan kami
sebagai ahli jamaah. Namun betapa pun kami bersedia, kami tetap
terkejut!
Kerana apa yang kami sangka Islam yang adil,cantik dan indah
sebenarnya telah bertukar wajah menjadi Islam yang zalim, ekstremis dan
mendedahkan wajah PAS yg sebenar.
Panel-panel yang datang memberikan ceramah kepada kami adalah bukan
calang-calang orangnya seperti Arwah Ustz Fadhil Noor (Bekas Presiden
PAS), Hj. Abdul Hadi Awang (Presiden sekarang, pada ketika itu Timbalan
Presiden), Nik Aziz Nik Mat (Menteri Besar Kelantan), Allahyarham
Bunyamin Yaakob, Ustz Siddiq Noor, Ustz Azizan (MB Kedah sekarang), Mat
Sabu, Mahfuz Omar dan ramai lagi.
Kami dilayan seperti banduan. Hak asasi kami dirampas. Kami diajar
perkara-perkara yang salah! Mana-mana ibu bapa yang melihat keadaan kami
pada ketika itu akan mengalirkan air mata darah.
Kami dilarang tidur sepanjang kursus itu (kekadang hanya satu jam
tidur sehari saja), dilarang mandi selama satu minggu, diberikan
makanan- makanan yang cukup daif (yang paling tidak dapat kami lupakan
nasi kosong tanpa lauk dan air teh tawar. Akhirnya kami tuangkan air teh
itu ke dalam nasi demi memberikan rasa sedikit pada nasi kosong itu).
Kami diberikan tekanan mental (mental torture) dan brain wash
setiap masa agar menyokong PAS. Kami didoktrinkan untuk menyokong PAS
dan jika tiba masanya untuk rela mati demi PAS. Pelajaran tidak penting,
yang penting hanyalah perjuangan serta kemenangan Islam (read PAS).
Ketaatan yang paling utama adalah kepada Presiden PAS (Amir Jamaah)
dan bukan kepada Yang Dipertuan Agong malah ibu bapa sekalipun. Malah
kami masih ingat dengan jelas bagaimana seorang pemimpin utama PAS
sekarang (nama saya rahsiakan, contact personal kalau nak tahu)
dengan jelas telah mengatakan bahawa, “Islam ditegakkan dengan dua
cara, dengan pedang atau demokrasi. Perjuangan PAS pada ketika ini
adalah melalui demokrasi.
Jika Pas gagal, maka PAS akan mengangkat
senjata! Jika sekiranya saat itu (angkat senjata) tiba, adakah tuan-tuan
semua bersama dengan kami?”
Kami yang sedang mabuk dgn candu PAS bertakbir dan kata kami akan bersama angkat senjata!
Kami ditawan serta dibrain wash untuk menjadi tentera-tentera militan PAS. Kami diajar untuk wala’ (taat tidak terhingga) kepada pemimpin PAS, hatta kalau ada exam
hari ini dan diarahkan untuk pergi berdemonstrasi oleh Amir Kampus
(Presiden PMIUM/Pengerusi Jemaah Islam Kampus JIK), maka kami wajib
menurut.
Pada akhir sessi Tamrin tersebut, kami dipaksa berbaiah kepada
pemimpin PAS dengan bersaksikan Allah, Rasul, Malaikat dan Alam Semesta
dan bersumpah bahawa laknat Allah akan menimpa kami jika kami keluar
dari ketaatan kepada jemaah iaitu PAS!
Dalam keadaan tertawan, ramai antara kami yang terpaksa berbaiah dan akhirnya terikat dgn perjanjian bathil ini.
Semasa dalam Tamrin ini lagi, Nashrul dan saya mula
tertanya-tanya…Islam yang kami kenal adil tetapi yang kami jumpa di sini
zalim. Islam itu tidak menindas, tapi kami ditindas. Islam itu agama
yang aman, tetapi kami disiapkan untuk menjadi militan. Kesemua ini
berlaku dengan izin serta pengetahuan jelas dan sedar para pemimpin PAS!
Walaupun begitu, kami tetap kekal bersama dengan PAS kerana
menyangkakan inilah jemaah terbaik yg sedia ada di Malaysia. Takkan nak
sokong UMNO yang takde Quran dan Sunnah dalam perlembagaanya…kami
memujuk diri sendiri.
Namun demikian kami jelas bahawa buat masa ini, inilah jemaah Islam
terbaik. Jika ada yg lebih baik dari PAS, maka kami akan menyertainya.
Rentetan dari itu, menjadilah kami aktivis PAS di kampus. Study
kami entah ke mana…kerana kami sentiasa dikerah untuk melakukan gerak
kerja PAS di kampus mahupun di luar kampus. Demonstrsi menjadi mainan
buat kami. Mesyuarat jemaah hampir setiap malam.
Ramai antara sahabat-sahabat kami yang berbaiah gugur dan tidak graduate kerana diajar untuk meletakkan aulawiyat (keutamaan) pada jemaah lebih dari pelajaran.
Saya dan Nashrul bertambah tidak puas hati. Kami melakukan islah
(pembaikan) dari dalam untuk meyedarkan jemaah (PMIUM) tentang bahaya
pelajaran kami yang terabai dek ditarbiyah dengan salah oleh PAS. Tetapi
kami masih taat kepada PAS demi Islam.
Islam kah mereka ini yang mengorbankan anak-anak para petani,
nelayan, peneroka serta ibu bapa dari kampung yang menghantar anak
mereka untuk mendapat segulung ijazah, tetapi akhirnya hanya pulang ke
kampung semula sebagai seorang penganggur yang berkelulusan terakhir
SPM?
Sedangkan Rasulullah tidak mengajar begitu. Konsep Jihad diselewengkan sebegitu jijik sekali oleh PAS.
Di kampus juga kami melihat dengan jelas betapa orang-orang agama
begitu korup sekali. Gerai-gerai Ekspo Konvokesyen yang strategik disapu
mereka seluas-luasnya untuk persatuan mereka serta persatuan-persatuan
proksi PAS.Tender air batu, tong gas dimonopoli sepenuhnya oleh
orang-orang yg memperjuangkan Islam ini.
Malah banyak kes siswi-siswi yang cantik semuanya disapu oleh
pimpinan kampus yang rata-ratanya adalah pelajar Akademi Islam. Ada kes
abang senior kami yang keluar dari jemaah kerana tunangnya meninggalkan
dirinya setelah dilamar oleh seorang pemimpin Jemaah Islam Kampus!
Banyak lagi penyelewengan mereka yang saya tak terkata di sini. Namun
ia tetap tidak menyebabkan kami keluar dari ketaatan kepada PAS.
Ramai di antara kami yang terbeban dengan gerak kerja jemaah sehingga
pelajaran kami terabai termasuk diri saya yang mengulang satu tahun di
Fakulti Perubatan. Ramai juga sahabat kami yang gugur tidak graduate
atau jika graduate sekalipun dengan kelulusan cukup-cukup makan.
Pada ketika itu saya mula menyalahkan PAS dan mendesak Nashrul sebagai sahabat baik saya ‘reconsider‘ kedudukan kami dalam PAS. Nashrul tetap menyuruh saya kekal taat kepada jemaah.
Di ketika kami pelajar aliran sains gagal, pelajar aliran sastera dan Akademi Islam semua lulus dengan 1st class honours walaupun tak study kerana sistem pelajaran mereka yang lebih fleksibel dan mudah.
Saya kekal menyokong PAS bersama dgn Nashrul tetapi kami sentiasa
jelas, jika ada jemaah lain yang lebih baik dan syumul berbanding PAS,
maka kami akan menyertainya.
Kami tetap membuat usrah tetapi naqib-naqib kami dari aliran Akademi Islam tidak faham masalah kami pelajar aliran sains.
Akhirnya kami mengambil Professor Dr Mohd Zaki Abdul Muin (Timbalan
Dekan Fakulti Kejuruteraan UM) untuk menjadi naqib kami. Asalnya usrah
ini untuk pelajar kejuruteraan tetapi saya dibawa Nashrul ikut sekali.
Prof Zaki adalah merupakan seorang aktivis PAS yang cukup ikhlas di
dalam berjuang. Beliau seorang yang teguh berpegang kepada prinsip
Islam. Orangnya bersih dari riba’ dan korupsi. Rumah dan keretanya
dibeli dengan cash tanpa loan dari mana-mana bank.
Orangnya cukup sederhana dan warak dan menjadi contoh kepada kami agar
menjadi seorang Muslim yang berjaya.
Disebabkan kemenangan PAS merampas terengganu, dan mengekalkan
kekuasaan di Kelantan pada pilihanraya 1999, beliau diminta oleh PAS utk
jadi Pengarah (CEO) Terengganu Advance Technical Institute (TATI), di
sana beliau cuba bawa PAS yang ideal, tak korup, cuba jadikan TATI modul
pembelajaran teknologi terbaik.
Beliau melantik seorang bekas Pegawai Tinggi BPR (kini SPRM) sebagai
Pengurus Besarnya untuk mengatasi serta menghindari masalah korupsi.
Sayangnya, disangka panas sampai ke petang, tapi rupanya hujan di
tengahari. Ada perselisihan di antara Prof dengan Harun Taib ketua Dewan
Ulamak PAS dan merangkap exco pendidikan negeri.
Wang ehsan untuk TATI, Prof Zaki enggan beri kepada kerajaan
Terengganu sebab beliau nak beli barang-barang untuk TATI sedangkan
Terengganu mahu menggunakan peruntukan wang ehsan untuk TATI itu bagi
tujuan politik lain.
Prof juga tak setuju mesin TATI digunakan untuk print poster politik pada harga yang sangat rendah. Ada orang hasut Harun Taib pecat pengurus besar ex BPR tu atas alasan kononnya dia tu SB (Special Branch Polis)!
Cuba bayang, suspek saja, bukannya ada bukti. Kalau BN buat seperti
itu, suspek saja kakitangan kerajaan sokong PAS, terus pecat, tidak kah
ini satu kezaliman?
Prof Zaki beri kata dua, kalau hendak pecat pengurus besar, pecat diri Prof Zaki sekali. PAS Terengganu beri notis 24 jam get lost
dari TATI kepada Prof Zaki. Prof tidak dipanggil bicara pun. Anwar kena
pecat kurang-kurang Tun Dr. Mahathir panggil, bagi peluang bela diri.
Prof Zaki tinggalkan puncak kerjayanya di UM. Kalau beliau tinggal di
UM, sudah tentu jadi dekan Fakulti Kejuruteraan UM, diangkat jadi
Majlis Tertinggi Universiti dan ada peluang jadi Naib Canselor UM.
Tapi demi Islam, Prof Zaki tinggalkan UM dan pergi ke institusi lubuk
macam TATI dan ditendang keluar seperti anjing kurap. Langsung tak
fikir tentang sumbangannya selama ini untuk PAS. Langsung tidak
difikirkan kebajikan Prof, anak-anak serta isterinya. Macam ni ke Parti
Islam? Jauh lagi korup dan zalim dari UMNO!
Kami beramai-ramai marah teramat kepada PAS. Nashrul dan saya malah
bertekad kami hanya akan aktif semula dalam PAS setelah Hadi Awang dan
Harun Taib mampus. Kami marah sangat dengan PAS. Tetapi Prof Zaki kata
pada kami, jangan keluar dari ketaatan kepada jemaah. Kami dengan itu
kekal taat dan sokong PAS demi Islam.
Akhirnya sahabat saya Nashrul sambung belajar di UK. Semasa di sana
Nashrul rajin bersolat di masjid. Disitulah dia mengenali pelbagai
jemaah. Saya pada ketika itu, berada pada tahun ke 4 dan final year perubatan.
Maka Nashrul berjumpa dengan pelajar-pelajar Arab dan Pakistan. Nashrul berdebat dengan mereka untuk defend
jemaah-jemaah haraki seperti Ikwanul Muslimin dan PAS. Semua
hujah-hujah PAS diberikan tetapi semuanya patah sebelah tangan sahaja
dengan hadith-hadith sahih Rasulullah yang tak pernah kami diajar atau
didedahkan.
Nashrul akhirnya akur dan mengaku kalah setelah TIDAK ADA HUJAH
MENGHALALKAN MENJATUHKAN PEMERINTAH YANG ISLAM WALAUPUN MEREKA ZALIM,
MAKSIAT, TIDAK BERHUKUM DENGAN HUKUM HUDUD ATAU MENGAMALKAN DEMOKRASI
DAN BUKAN SYURA SELAGI MEREKA BERSOLAT.
Nashrul ditunjukkan hadith-hadith sahih dari kitab-kitab hadith yang
asal. Semua hadith bab pemerintahan dalam sahih Muslim dibaca satu
persatu, tetapi tidak ada satu nas pun yang membenarkan menjatuhkan
pemerintah.
Nashrul menghubungi saya dan memaklumkan apa yang dia jumpa kini. Saya pada asalnya pun skeptic….tetapi inilah yang kami cari. Satu manhaj yang mengikut full sunnah Rasulullah.
Kami pun masuk berdebat dengan ramai ustaz-ustaz PAS sejak hampir 5
tahun dahulu. Kami bentangkan segala hadith-hadith yang kami temui dan
minta mereka hurai kenapa PAS tak ikut…jawapan-jawapan mereka seperti
jawapan Mahathir yang kata Nabi simpan janggut kerana tak de pisau
gillete, kalau laksana hudud semua orang akan kudung etc!!!
Mereka tolak puluhan hadith-hadith ini sebagai tidak relevan dengan zaman sekarang!!!
Pandangan ‘ulamak’ seperti Nik Aziz diletakkan lebih tinggi dari
Hadith Nabi SAW!!!! Kami tidak dapat menerima kesesatan ini. Bagi kami
Allah dan Rasul yang teratas.
Rasullulah sudah tinggalkan kita dua perkara yang kita tidak akan
sesat selamanya iaitu Quran dan Sunnah. Pendapat para sahabat, tabiin
malah ulamak-ulamak selepas padanya adalah rendah tarafnya berbanding
Hadith Nabi SAW yg tidak boleh dipertikaikan.
Pendapat ulamak mestilah ke arah menyokong dan membenarkan hadith
Rasulullah. Mana-mana ulamak yang meletakkan pendapatnya lebih tinggi
daripada Hadith Rasulullah adalah sesat. Mengatakan bahawa hadith-hadith
Nabi hanya terpakai untuk Daulah Islamiyah seperti ustaz-ustaz PAS ini
adalah merupakan penipuan terhadap Rasulullah.
Mereka (PAS) mengiktiraf bahawa sistem khalifah/ daulah Islamiyah
adalah berterusan bermula dari Khulafah Al Rasyidin, seterusnya Bani
Umayyah, Bani Abbasiyah dan berakhir dengan Bani Uthmaniyah Turki.
Sebenarnya, hanya empat khalifah pertama sahaja yang benar-benar naik jawatan melalui sistem syura.
Pemberontakan pertama terhadap khalifah berlaku pada zaman Saidina
Uthman digerakkan oleh Munafik Abdullah bin Saba. Setelah umat Islam
melakukan pembunuhan pada Saidina Uthman, maka lahirlah puak khawarij,
Syiah dan zaman fitnah hingga ke hari ini.
Maka setiap pelanggaran sabdaan Rasulullah akan menjauhkan kita lagi
dari Sunnah.Setelah Saidina Ali, Saidina Muawiyah naik dengan Majlis
Tahkim, dan setelah itu sistem monarki bermula di mana Muawiyah melantik
Yazid anaknya sebagai khalifah.
Tetapi para ulamak yang hidup pada zaman tersebut tetap megiktiraf
Yazid dan keturunannya sebagai pemerintah yang mesti diberikan ketaatan
bersesuaian dgn hadith Rasulullah walau sezalim mana mereka sekalipun.
Malah Hajjaj bin Yusuf At Tsaqafi, seorang gabenor telah menyerang
Kaabah dan mengebom sebahagian Kaabah dengan manjanik serta membunuh
Abdullah bin Zubayr ra dengan begitu kejam. Bom kaabah ni dah kira macam
Abrahah ni. Tetapi Tabiin Agung seperti Hassan Al Basri tetap katakan
wajib taat kepada Hajjaj. Imam Syafii malah mengatakan sah bersembahyang
berimamkan Hajjaj yang zalim ini.
Begitu juga dengan Imam Ahmad bin Hambal yang berhadapan dengan
Khalifah Bani Abbasiyah yang terpengaruh dengan fahaman muktazilah,
Khalifah Al Ma’mun, yang mengatakan Quran itu adalah makhluk!
Imam Ahmad telah berfatwa kufur orang yang mengatakan Quran itu
makhluk. Kerana itu, Imam Ahmad disebat dan dipenjarakan. Apabila para
murid Imam Ahmad berjumpa untuk meminta izin menjatuhkan Khalifah Al
Ma’mun, telah dilarang keras oleh Imam Ahmad kerana faham dengan sabdaan
Nabi SAW yang meletakkan kesatuan ummat paling utama. Begitu juga
dengan para khalifah Islam yang begitu ramai yang kaki perempuan, kaki
khamar etc..tetap diiktiraf sebagai pemerintah Islam oleh PAS…sangat
aneh.
Jatuh menjatuh oleh rakyat ini berterusan dan setiap kali berlaku,
digantikan oleh pemimpin yang lebih zalim, lebih lemah, dan lebih
menjauhi sunnah. Hingga akhirnya Kerajaan Turki Uthmaniyah buang syura
dan ambil parlimen! Hapuskan serban dan diganti tarbus..Tetapi mereka
kekal diiktiraf daulah Islamiyah…sangat pelik.
Natijahnya, sistem Islam terhapus sama sekali dan kita mengamalkan
demokrasi kini. Jika kita tidak juga kembali kepada sunnah dan
berterusan mahu menjatuhkan pemerintah yang Islam, tidak mustahil negara
kita akan diperintah oleh orang kafir.
Singapura sudah cukup sebagai contoh, kita dapat lihat orang Melayu
yang sokong PAP Lee Kuan Yew kerana marah kepada UMNO menyesal tak
berkesudahan kerana menjadi warga kelas kedua di negara sendiri.
Lihat saja Iraq, penyingkiran Saddam Hussin tidak membawa keamanan
langsung buat negara malah saban hari berlaku tembak menembak dan
kekacauan.
Sahabat saya dari Iraq yang sambung belajar dengan saya berkata,
orang Iraq menyesal menggulingkan Saddam. Ada juga orang yang menjadikan
Indonesia sebagai contoh dengan mengatakan penggulingan Suharto telah
menyebabkan ekonomi Indonesia berada pada tahap tertinggi kini. Neraca
ekonomi sahaja kah yang kita pakai?
Tidak nampakkah bala bencana seperti Tsunami, Banjir, Gempa Bumi,
Letusan Gunung Berapi serta banyak lagi bencana alam yang meragut
ratusan ribu nyawa?
Ini semua adalah kemurkaan Allah. Jatuhnya Suharto menyebabkan
merdekanya Timor Leste dan menjadi kerajaan Kristian pertama di
Nusantara. Pluralisme agama tumbuh subur di sana. Adakah Islam
diletakkan tertinggi?
Pancasila masih didokong tertinggi walaupun Suharto dijatuhkan sudah
14 tahun lamanya. Janganlah kita tuli dalam menilai. Inilah harga yang
dibayar untuk perjuangan khawarij menjatuhkan pemimpin.
Sebaliknya jika kita bersabar, bertaubat bersungguh-bersungguh serta
beribadat, nescaya Allah akan gantikan dengan pemimpin yang lebih baik,
negara yang lebih aman dan makmur serta pentadbiran yang lebih mendekati
sunnah.
Al-Hassan al-Bashri rahimahullah berkata: “Ketahuilah mudah-mudahan
Allah mengampuni Anda bahawa kejahatan para pemimpin itu merupakan salah
satu bentuk murka Allah Ta’ala. Murka Allah itu tidak dapat dihadapi
dengan pedang, tetapi dapat dicegah dan dirolak dengan doa, taubat,
kembali ke jalan Allah, dan menjauhkan diri daris segala dosa.
Sesungguhnya jika murka Allah dihadapi dengan pedang, murka tersebut
akan menjadi lebih parah.” [Al-Wajiiz fii 'Aqiidatis Salafish Shaalih,
hal. 190]
Maka kami berpegang kepada sunnah dengan menyokong pemerintah Muslim
yang ada sekarang yang kebetulannya adalah UMNO. Kerajaan kita tidak lah
seburuk mana, kuasa politik dipegang oleh umat Islam, rakyat Islam
diberikan keistimewaan ekonomi, peluang belajar yang luas, umat Islam
bebas beribadah tanpa perlu rasa takut dan curiga kepada orang kafir,
sistem keselamatan dan pertahan yang rata-ratanya dikuasai oleh orang
Islam…banyak lagi.
Jika PAS memerintah, maka segala ketaatan kami secara hukumnya adalah
kepada PAS. Ini kehendak ugama. Tetapi melihat kezaliman mereka selama
ini serta korupsi mereka sedangkan belumpun benar-benar berkuasa, maka
sebelum mereka menjadi pemerintah , maka PAS akan kami tentang
bersungguh-sungguh sebelum nasi menjadi bubur.
Menyokong PAS adalah haram kerana PAS adalah tidak syarie yang mana
tidak ada nas Quran atau Hadith yang membenarkan perjuangan PAS untuk
menjatuhkan pemimpin yang sedia ada.
Perlembagaan PAS sendiri (yakni Quran dan Hadith) mengharamkan
kewujudan PAS. PAS wajib ditolak kerana perjuangan mereka adalah
perjuangan khawarij. Untuk kami, kami sangat jelas akan perkara ini
kerana kami mendengar dengan jelas bahawa PAS akan mengangkat senjata
jika gagal di dalam demokrasi sepertimana FIS di Algeria dan Ikhwanul
Muslimin di Mesir.
Hujah kami ini bukanlah hujah UMNO kerana UMNO tidak tahupun akan
hujah ini, malah menekan ulamak-ulamak salaf di Malaysia seperti Ustaz
Rasul Dahri dengan mengharamkan buku-buku karangan beliau yang menolak
bidaah seperti doa nisfu syaaban, tahlil, bacaan Yaasin pada malam
Jumaat etc.
Walaupun menerima tekanan dari pemerintah, ulamak-ulamak salaf tetap
taat kepada pemerintah kerana inilah yang bertepatan dengan sunnah.
Inilah pendapat para ulamak salafusoleh seperti Imam Malik, Imam Syafie,
Imam Ahmad, Hassan Al Basri, Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah serta para
ulamak salaf sepanjang zaman.
Kami tenang dan aman dengan manhaj yang kami ikuti ini. Kami berjuang
kini untuk meyedarkan semula sahabat-sahabat kami yang telah terpesong
dari jalan sunnah dengan menyokong PAS sejak dari zaman kampus.
Suka saya dan Nashrul seandainya sahabat-sahabat juga meninggalkan PAS dan bersama-sama dengan kami mendokong ajaran Rasulullah.
Comments