SEPERTI irama muzik lain, putaran muzik
nasyid turut berdepan evolusi yang menyaksikan survival irama untuk
disemarakkan dan dibiakkan oleh pejuang-pejuangnya.
WAKIL
daripada Nasyeed.Com, Razin Che Mud bersalaman dengan Tun Dr. Mahathir
ketika berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, beberapa
hari sebelum acara kemuncak Nasyeed.Com berlangsung.
Boleh digelar jihad muzik untuk
memekarkan bunga-bunga kerohanian dan cinta Ilahi dalam jiwa, penyanyi
nasyid dari Malaysia sebenarnya sudah terukir di peta dunia hiburan
Islamik dan disegani ramai.
Jika tidak kerana kukuhnya penerimaan
peminat di tanah air terhadap irama itu, masakan penyanyi lagu-lagu
kerohanian antarabangsa Maher Zain berkali-kali berkampung di Malaysia
untuk membuat persembahan dan promosi album baharu.
Tahun 1996 hingga 2000 menyaksikan tahun
gemilang kepada kuasa irama nasyid. Ketika itu, Raihan, Rabbani,
Hijjaz, Saujana dan In-Team antara yang tidak asing di bibir peminat,
namun segalanya mulai menyusut dan kini penghormatan terhadap nasyid
semakin tipis.
Pemansuhan kategori nasyid dalam pesta
meraikan pencapaian artis dari segi populariti contohnya dalam Anugerah
Bintang Popular baru-baru ini, memberi isyarat bahawa artis nasyid sudah
hilang satu tempat di mata umum.
Tidak menunggu sehingga bertahun untuk
memulihkan semangat para pejuangnya, penganjuran Anugerah Nasyeed.Com
oleh Nasyeed Edutainment Publishing Sdn. Bhd. pada 13 dan 14 April lalu
cukup memberi makna. Ia seperti sinar baru kepada muzik yang cukup indah
penghayatannya terutama kepada pencinta lagu-lagu ketuhanan dan
kerohanian.
Buat julung kali diadakan, acara yang
berlangsung di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur itu turut
mendapat ruang apabila ia disiarkan secara langsung oleh TV Islamik
Malaysia, TV Alhijrah.
Penaung kehormat
Melihat penganjuran yang berjalan lancar
bermula dari peringkat perbincangan, promosi dan jelajah sehingga malam
anugerah, Pengasas Nasyeed.Com, Azmee Abdul Manap berkata, apa yang
paling membanggakan adalah sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada
setiap karyawan nasyid.
“Setiap minggu, ada sahaja kumpulan yang tidak tercalon ke peringkat akhir tetapi tetap hadir memberikan sokongan.
“Semangat itulah yang kami mahu.
Anugerah sekadar memberi pengiktirafan tetapi apa yang lebih penting
daripada itu ialah setia kawan, permuafakatan dan kerjasama. Penyanyi
nasyid harus bersatu hati dalam apa jua perkara,” kata Azmee.
Lebih menguatkan keyakinan, dunia nasyid
tempatan sebenarnya tidak pernah pudar di mata seorang negarawan ulung
bernama Tun Dr. Mahathir Mohamad. Bekas perdana menteri itu sendiri
menyifatkan dakwah melalui kesenian dan menanam rasa cinta terhadap
Allah dan Rasul yang menjadi asas nasyid merupakan cara paling mudah
untuk mengajak peminat ke arah kebaikan.
“Melukis dengan perkataan,” itu antara
pesanan yang diberikan oleh Tun Mahathir kepada para penyanyi nasyid
yang datang berkunjung ke Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Bersetuju menjadi penaung kehormat
program Anugerah Nasyeed.Com kerana menganggap ia sebuah program yang
baik, Mahathir menjelaskan beliau sudah lama berhasrat untuk membantu
tetapi tidak didekati oleh mana-mana pihak.
SELURUH
karyawan Nasyeed. Com bergabung, bersatu hati demi meneruskan
perjuangan menyemarakkan irama nasyid sebagai bukan sekadar hiburan
tetapi terapi kerohanian untuk mendekatkan pencintanya ke jalan
mendekati diri dengan kesucian agama.
“Saya bersyukur melihat kumpulan nasyid
bergabung dalam satu badan. Bila berkumpul, lebih banyak kekuatan dan
hikmah. Saya melihat nasyid adalah salah satu cara berkomunikasi dan
dapat membawa pengetahuan kepada pihak lain.”
“Kita akan mudah lupa. Jadi apabila kita
suarakan pendapat atau informasi dengan berlagu, ia lebih mudah sampai
dengan ingatan yang kemas. Nasyid ialah cara untuk menyampaikan mesej
berkenaan agama. Perkataan mestilah tepat dan khalayak akan lebih faham
tentang agama,” ujar Mahathir yang mengamati perjalanan dunia nasyid dan
menyifatkan muzik dan melodi nasyid dahulu kurang bervariasi.
“Saya sudah berusia 87 tahun dan telah
banyak zaman saya lalui termasuk nasyid. Saya kesal muzik dari Barat
menjadi pilihan orang kita. Lagu Barat dahulu boleh didengar kerana
melodi dan liriknya yang baik tetapi tidak sekarang. Saya berharap kita
dapat membina satu benteng daripada kemasukan lirik atau lagu yang
bermoral rendah. Ini adalah satu tugas untuk ahli nasyid, bukan sahaja
dari segi perkataan tetapi juga muzik. Saya harap para penyanyi nasyid
dapat membina pendekatan ini dengan cara kita yang bermoral dan
beretika,” pesan Mahathir yang mahu lagu nasyid bukan sahaja diterima
golongan Islam tetapi juga bukan Islam.
Comments