KRONI YANG KRONIK


Carik fail lain, jumpa fail lain. Ini salah satu bab yang pernah saya tulis dari pengamatan ketika itu. Saya ubah sedikit tetapi maksudnya tidak lari dari naskah sebenar simpanan saya

Ups..!!  Kenapa ‘Kroni yang kronik’?? Ini bukan lagu baru dan ini bukan fatwa pujangga yang saja-saja suka nak letak. Ianya bagus untuk diperkatakan dan cukup bagus untuk diperdebatkan.. Lagi pun bunyinya mudah dan sedap disebut.. Tidak setuju?? Terima kasih, mari kita teruskan pembacaan..

Kenapa di sebut ‘Kroni yang kronik’?? Satu pengamatan yang teruk buat kita?? Apa yang sedang awak fikirkan?? Tunggu!!! Baca dulu.. apa yang cuba saya sampaikan.. semoga sampai maksudnya. Terima kasih.

Bukanlah saya seorang yang pandai atau cerdik membicarakan perkara ini. Terlalu banyak perkara yang perlu saya pelajari dan saya menulis bukan kerana nama.

Walau apa pun juga yang termaksud oleh minda kita semua, di dalam konteks ‘kroni yang kronik’ ini saya berusaha memahami di dalam konteks diri sendiri, sekiranya anda mahu menilai di dalam konteks diri anda sendiri, kita dapat berkongsi rasa yang sama mungkin maksud berbeza dan akhirnya kembali kepada fitrah manusia, kita perlu kembali kepada satu fahaman, benarkah ‘kroni sudah kronik’??

Menurut Kamus Dwibahasa, Bahasa Inggeris-Bahasa Melayu yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Kementerian Pendidikan Malaysia; 1989, perkataan kroni di ambil pada perkataan bahasa Inggeris iaitu ‘Crony’ yang memberi maksud rakan, teman baik dan sahabat karib.

Ini jelas sekali menunjukkan bahawa makna kroni yang dirujuk tersebut membawa maksud dan pengertian yang sangat baik, malah boleh di katakana sempurna. Ibaratnya mengutamakan semangat setiakawan.

Namun, fikiran kita pada hari ini, atau mungkin bukan sekarang.. tetapi sudah begitu lama, telah dibelenggu atau dicemari maksud  sebaliknya sehingga kita sendiri terperangkap dengan budaya setiakawan tersebut. Maka itulah iayanya diperkatakan kebanyakan yang melihat ‘kroni yang kronik’. Tidak setuju?? Teruskan membaca..

Ironinya dan agak pelik bagi kita pejuang-pejuang politik dan perkara ini perlu di ubah agar UMNO terus perkasa jangan leka, sudah sampai masanya kita meninggalkan budaya maksud yang negatif di dalam semangat setiakawan ini dan mengembalikan maruah kroni itu dari sudut pandang yang positif dan menjadikan UMNO terus kekal selama-lamanya.

Mari kita ubah pandangan ‘kroni yang kronik’ tersebut yang dilihat selama ini dari sudut pandangan negatif agar menjadi lebih positif.

Kita semua sedia maklum bahawa kroni yang difahami selama ini merupakan satu kumpulan rakan atau satu kumpulan pasukan teman baik diketuai oleh individu pemimpin di mana individu pemimpin ini sama ada  dipertanggungjawabkan atau rasa bertanggungjawab menjaga kebajikan pengikut dan penyokongnya dan ada sebilangan individu pemimpin tersebut mengikut daya fikir pengikutnya kerana takut hilang pengaruh. Ada pula individu pemimpin ini menggunakan sentimen isunya menjadi melukut di tepi gantang kerana tidak mahu pengikutnya lari meninggalkan pengaruh kepimpinannya. Macam-macam ada.

Terdapat beberapa situasi biasa kita lihat di mana seorang individu pemimpin yang mengepalai kepimpinan, di mana siapa pengikut yang lebih cerdik dari pengikut yang lain akan mendapat banyak kelebihan dan keuntungan. Yang tidak patuh dan agak kurang cerdik jarang mendapat untung dan sukar mendapat apa. Apa yang sering mereka telan adalah keperitan dan perselisihan faham yang semestinya akan memberatkan keadaan dan tiada siapa yang untung, melainkan yang cerdik bodek yang untung.

Maka di sini,  akan wujudnya kumpulan kaya bertambah kaya, kumpulan miskin bertambah miskin. Bagi golongan sederhana cerdik turut mendapat tempiasnya, di mana turut meminta apa tetapi tidak pernah mendapat apa. Akhirnya mereka tetap berasa terpinggir dan terasing.

Akhirnya, akan wujud satu perasaan yang tidak gembira di kalangan masing-masing itu dan perselisihan faham berlaku maka di sini lah wujudnya maksud ‘kroni yang kronik’.. Tidak setuju??

Inilah puncanya, mengapa manusia itu dikatakan lemah. Jangan salah kan sesiapa kerana ini lah dosa-dosa kita menjadikan kroni itu kronik. Perasaan ini jugalah membuatkan kita tidak boleh lari dari kenyataan sebenarnya bahawa kita tidak mengamalkan semangat kroni yang beriltizam tinggi. Bukankah kroni itu sepatutnya di arah kepada semangat setiakawan yang tinggi?? Nilaikan sendiri di dalam diri kita.

Kita sentiasa sahaja melakukan kesalahan yang sama berulang kali. Adakala sahabat-sahabat kroni berasa megah dan riak apabila mereka tergolong di kelompok individu pemimpin berjenama dan terkenal. Tetapi mereka juga lupa bahawa mereka juga mampu merosakkan jenama pemimpin tersebut jika itulah hobi mereka yang suka menjadi papan iklan. Tidak setuju??

Di dalam situasi yang lain pula, terdapat beberapa indvidu secara kebetulannya sentiasa mendampingi pemimpin tertentu kerana hidup di dalam lingkungan pemimpin tersebut di nilaikan sebagai kroni, sedangkan kerana pergaulan setiakawan tersebut dan melibatkan faktor-faktor tertentu, wujudnya nilai persahabatan. Apakah nilai kroni bentuk ini?? Sila jawab.

Nampaknya, ramai terperangkap dengan istilah kronism yang telah dipandang kritis oleh ramai orang. Oleh yang demikian, sekali lagi mampukah kita mengubah persepsi kroni kearah lebih beriltizam tinggi?

Busuk sangat ke kroni itu?? Maka saya mengambil pendekatan ini dan cuba untuk memahami apakah yang dimaksudkan dengan kroni?? Saya fikir kita tidak boleh hanya melihat kepada sudut pengertian sahaja. Ianya perlu dilihat dari sudut yang lebih baik dan bermakna. Apa lagi ianya perlu dinilaikan pada corak persahabatan yang pelbagai.

Selama ini pemikiran kita sudah diselubungi dan ditutupi jerubu kekeliruan yang membuatkan kita bertambah hilang punca dengan fahaman bahawa kroni itu adalah jalan perhubungan kepada matlamat mendapatkan sumber kekayaan. Dengan sinisnya, kebenaran ini benar berlaku bukan??

Hakikat sebuah perjuangan, kroni masih mampu untuk mengumpulkan semua orang dengan perilaku yang baik malah mendapatkan manfaat serta sumber bantuan dan tidak perlu menyebelahi mana-mana pihak. Malah perlakuan dan keputusan yang adil juga mencetus kepada perasaan yang menyayangi, prihatin, dedikasi dan mampu menyumbang kebaikan dan tidak menyalahi prinsip kroni yang tulen.

Bolehkah kita berpendapat sumbangan nilai-nilai murni itu juga terhasil daripada kroni? Tolak tepi prinsip kroni yang kronik di mana kita sering megah bersama pemimpin yang berjenama sedangkan tugas kita perlu membantu pemimpin tersebut, dan tugas pemimpin menjalan tugas berasaskan prinsip persahabatan. Sebenarnya kita mampu membuat jasa kepada semua orang yang dikenali dan tidak dikenali. Tetapi di situ juga persoalan yang timbul sejauh mana kita mampu membuat jasa tersebut.

Berbalik kepada pengertian dari sudut positif itu tadi, bahawa kroni itu bermakna rakan, teman baik dan sahabat karib. Kita perlu lupakan sejenak gejala rasuah, perlu lupakan sejenak gejala kawan makan kawan. Kita perlu lupakan seketika matlamat jangka pendek dan mementingkan diri sendiri. Pernahkan kita sebagai individu biasa memikirkan dan memahami maksud kroni itu dari sudut baik, sudut yang membina dan pandangan yang menyokong kepada tuntutan kebajikan, kebaikan, hormat-menghormati dan saling membantu?

Setiap sebarang pemilihan, memperkenalkan dasar, memilih seorang ketua dan sebagainya, adalah mustahil dan memang mustahil untuk kita memperolehi sesuatu keputusan 100% menyokong dan bersetuju. Sekiranya ada, itulah usaha kita yang bertungkus lumus dan sedaya upaya mendapatkannya bagi menghormati pucuk pimpinan kita. Itu pun, masih ada lagi kedengaran kata-kata sinis dan kritis yang tidak sedap di dengar. Namun keputusan majoriti untuk memperolehi kemenangan dan kekalahan perlu di terima atas dasar kroni.

Lantaran, gejala kroni yang pasif ini perlu kita ubah dan kita tidak boleh memandang ianya remeh dan sudah sampai masanya perubahan persepsi pada maknanya secara menyeluruh dan konsisten agar tiada lagi kedengaran konsep kroni menyenangkan orang tertentu sahaja dan sebilangan yang lain terpinggir.

Apabila kepimpinan baru mendapat mandat kepimpinan, maka orang-orang yang tidak berkenaan dilupuskan hak yang biasa diperolehi mereka sebelum ini dan kumpulan baru yang lain pula akan mendapat kesenangannya. Akan berlakulah perselisihan faham yang maha hebat. Maka, sebenarnya, kroni jenis apa yang kita perjuangkan?? Adakah kroni kepimpinan atau kroni kepada prinsip perjuangan kita?? Manusia mudah lupa dan selalu lalai.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku berulang kali, bolehkah kita memperkenalkan dasar kroni baru yang mementingkan perpaduan, permuafakatan dan mengeratkan silaturrahim sesama insan?

Pada fikiran yang telus dan lurus ini, saya berpendapat bahawa segala apa yang kita usahakan, apa yang kita hasilkan dan apa yang kita gunakan mestilah sama-sama dirasa dan dikongsi bersama agar kehidupan lebih baik dapat dirasai dan semua orang mendapat nikmat kehidupan yang sempurna dan memberi keyakinan juga buat kita untuk menghulurkan sokongan dan dorongan.

Kroni yang kronik. Kita semua mangsa kepada maksudnya. Kenapa? Tidak mampu untuk percaya?? Kita sering melabelkan apa yang kita sering nampak dan terjah kepada satu fahaman bahawasanya kita telah berpaling tadah. Adakah ini maksud kroni yang perlu kita gambarkan?? Sedangkan hakikatnya, kita boleh melakukan persepsi yang positif, iaitu kroni itu ialah semangat setiakawan. Berbeza idealogi tidak mengapa, asal jangan kawan dijadikan lawan, asal kawan tidak makan kawan, asal pemimpin tidak kena tawan.

Inilah kita tidak pernah menyalahkan diri sendiri dan tidak memandang perhubungan kroni itu dalam lingkungan yang positif dan menambah kawan. Apabila menyebut sahaja kroni, sudah tergambar di minda, sebagaimana wajahnya, rupanya dan sikapnya.

Marilah.., marilah.., ayuh.. ayuhlah..,  saya mempelawa semua untuk membincangkan kroni dari pandangan berhemah. Kita bincangkan dan cuba melihat dari pandangan yang baik pula. Bolehkah? Sudikah? Tidak mampu?? Adakah jijik untuk kita bincangkan peranan kroni dari sudut positif?? Mustahil tidak kena pada satu sikap positif pun.. Ayuh.., kita pecahkan tembok yang kronik ini.  

Kroni yang Unik. Sejauh mana uniknya kroni ini?? Adakah kita perlu berasa janggal dengan perhubungan kroni itu? Jangan lagi kita menyalahertikan maksud tersebut kerana itu akan membuatkan kita tidak boleh berubah.

Pengertian kroni yang diambil melalui perkataan bahasa Inggeris itu telah memberikan maksud dan gambaran yang baik. Seharusnya maksud yang yang baik itu perlu kita amalkan. Minda yang beku itu perlu kita cairkan agar semua orang beralih pandang untuk membina semangat setiakawan yang tinggi.

Marilah kita sama-sama berkroni dengan satu fahaman, pandangan, perbuatan dan mempunyai kepentingan pelbagai pihak. Jangan lagi memandang kepada ahli sahabat sahaja, marilah sama-sama memandang ahli yang bukan dikalangan sahabat. Mari kita pecahkan kroni yang berkelompok menjadi satu kroni yang unggul. Boleh jadi kita mampu untuk menukarkan persepsi masyarakat berkaitan maknanya. Kesan jangka panjang, masyarakat tidak lagi keliru dengan propaganda kroni yang kronik kerana kita berjaya mengubahnya daripada kronik menjadi unik.

Kroni yang unik. Kepimpinan pucuk pimpinan bolehlah dianggap seperti sebuah rumah di mana di dalamnya dipimpin oleh seorang yang mempunyai jiwa yang mencorakkan warna, kebersihan, kesabaran, kebahagiaan, perpaduan dan permuafakatan seluruh isi rumah. 

Pemimpin rumah akan bertanggungjawab memberikan yang terbaik kepada ahli rumahnya. Lain pemimpin rumah, lain pula corak rumahnya. Itu merupakan hak individu. Sekiranya rumah dicorakkan dengan jiwa yang kosong, jiwa rumah itu tetap akan kosong.

Berlaku sebaliknya pada rumah yang dipimpin itu terhasil daripada keadaan persekitaran yang sebenar seperti perasaan gembira, tertekan, dicabar, difitnah, kehilangan seorang ahli rumah, sedih dan kita menghadapinya dengan jiwa yang tenang, tabah, sabar serta tawaduq.

Pemimpin yang mengambil pendekatan yang berhemah dan bijak,  pemimpin tersebut mampu  mencorakkan rumah dengan baik. Tidak ada ahli rumah yang akan keluar rumah, malah ramai lagi yang mahu datang berteduh.

Andai di kalangan mereka yang terdetik mahu lari, mereka perlu berfikir banyak kali kerana rumah yang dibina untuk mereka telah memberi kesempurnaan jiwa dan membuatkan mereka sentiasa berfikir positif.

Sekiranya masih ada dikalangan mereka tetap mahu lari, mereka itu sebenarnya bersikap individualistik yang tidak mahu lagi teman, rakan baik dan  sahabat karib lagi. Apa yang mereka mahukan cuma pengaruh hasil masalah yang mereka ciptakan sendiri. Akhirnya, perbuatan mereka memakan diri sendiri. Paling merosakkan, apabila satu rumah terdapat 3 pengaruh pemimpin. Ribut taufan la jawabnya.

Oleh itu, saya berharap kita mampu mengubah persepsi ini menurut pandangan kita masing-masing. Tak kisahlah apa juga pandangan dari diri kita. Yang penting, usaha membuat terbaik, memberi dan menyumbangkan yang terbaik, mengamalkan perkongsian pintar, jauhi sikap kroni yang kronik.

Berikan ruang yang terbaik bagi mewujudkan semangat perpaduan, permuafakatan dan kerjasama erat bagi memastikan agenda parti di dahulukan, maruah bangsa dipertingkatkan dan harga diri dimartabatkan. Itulah amalan kroni yang tulen dan unik dan tidak semberono.

Walau ada kalanya kita tidak konsisten dalam menjalankan tanggungjawab kita sebagai seorang manusia, tetapi jangan biarkan ianya membelenggu pemikiran dan prinsip kita selama ini. Seharusnya kita sedar bahawa dunia ini tidak diwujudkan untuk memenuhi manusia yang hilang akal dan pertimbangan melainkan mereka telah tersasar laku dan salah membuat pertimbangan akibat nafsu nafsi.

Sekiranya mereka cepat sedar kesilapan mereka mereka akan cepat ingat dan kembali ke pangkal jalan. Sekiranya mereka masih dengan sikap sombong dan ego mereka, mereka akan meneruskan kesalahan mereka. Itu jugalah kejadian dan sikap kroni yang kronik yang sukar dikawal dan dibendung.

Oleh yang demikian, hidup di bumi yang penuh mencabar memerlukan tahap kesabaran yang tinggi. Kita perlu hidup di kelompok, teman, kawan baik atau sahabat karib bagi membentuk corak kroni yang unik. Walaupun hidup dalam kedudukan yang selesa, ironinya kita masih manusia biasa dan ada batas-batasnya yang perlu kita ingat dan akur iaitu; amal makruf, nahi mungkar.

 Tulisan Tinta Jambu

Yang dihasilkan bertarikh 09 Disember 2003M bersamaan 13 Syawal 1424H jam 10.00 malam.

Ketika itu, ada perjanjian tulisan Tinta Jambu hendak diterbitkan dalam bentuk buku. Tetapi, di sebabkan kronism kritis juga, projek ini tergendala sehingga hari ini.

Tinta Jambu kini, jarang menulis pandangan pribadi berkaitan politik seperti pernah dilakukan satu ketika dahulu apabila bersama seorang bekas pemimpin ini. Insya Allah, Tinta Jambu akan berusaha mencari ruang menulis.

Yang mengenali Tinta Jambu, mereka mungkin tahu peranan Tinta Jambu dahulu. Peranannya tidak besar, tetapi sekurang-kurangnya dari peranan tersebut Tinta Jambu faham sepak terajang politik.

Apa pun ketika itu, Tinta Jambu cuma kena sepak sikit saja dalam politik nih.. tak sama dengan satu kumpulan lagi tu.. yang  siap kena ‘flying kick’ lagi.. hihi

Tinta Jambu dalam classs tersendiri. Ecehhhhhhhh.. :)

Comments