Sumber : N9kini.com
TANJUNG AGAS, 06 Mei – YAB Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan menerima bendera UMNO dari YAB Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka di Dataran Tanjung Agas, sempadan Melaka-Negeri Sembilan, petang tadi.
Majlis penyerahan bendera UMNO itu bersempena dengan Larian Bendera UMNO Peringkat Kebangsaan Sempena Ulangtahun UMNO ke-66 yang akan di sambut pada 11 Mei 2012, di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, di dalam ucapannya menyeru ahli-ahli UMNO, agar sentiasa mengeratkan silaturrahim dan sentiasa bersatu padu di dalam memperjuangkan agenda bangsa Melayu, kerana tanpa kekuatan di kalangan ahlinya, boleh jadi bangsa lain akan mengambil kesempatan di atas kelemahan tersebut.
Larian bendera UMNO Sempena Ulangtahun UMNO ke-66 misalnya, secara simbolik telah menaikkan semangat juang yang kental dikalangan ahlinya dalam masa yang sama ia turut memperkasakan parti ke peringkat yang lebih stabil.
“Dengan kekuatan dan kestabilan yang diperjuangkan oleh pemimpin sejak dulu sehingga kini, matlamat pemimpin UMNO dan harapan ahli UMNO ialah mewariskan sebuah parti yang kuat untuk kesinambungan generasi di masa akan datang.” Tambah beliau.
Larian Bendera UMNO Sempena Ulangtahun UMNO ke-66 Peringkat Negeri Sembilan telah bermula pagi tadi di bahagian-bahagian dengan iringan konvoi bermotosikal sebanyak lima ratus buah motosikal.
Terdahulu, larian bendera UMNO ini telah melalui Negeri Johor dan melalui sempadan Negeri Melaka dan hari ini, kontinjen membawa bendera UMNO melalui sempadan Negeri Sembilan pula sebelum kontinjen meneruskan ke Negeri Selangor.
Di Negeri Sembilan, 7 Mei, trek laluan bagi kontinjen membawa bendera UMNO ini akan bermula seawal pukul 7.00 pagi di Tanjung Agas menuju ke Pusat Khidmat Barisan Nasional Bagan Pinang. Dari Bagan Pinang kontinjen akan meneruskan larian menuju ke Kg Saga dan melalui Pekan Rantau seterusnya menuju ke bulatan Mambau sebelum ke Dataran Senawang pada sebelah malamnya.
Sementara, pada 8 Mei pula, larian bendera UMNO akan bersambung seawal pukul 7.00 pagi dari Dataran Senawang menuju ke Pusat Khidmat Barisan Nasional DUN Ampangan sebelum meneruskan larian ke Masjid Pantai melalui Jalan Jelebu sehingga ke trek terakhir Padang Sekolah Kg Machang, sempadan Negeri Sembilan – Selangor pada sebelah petang.
Di mana, Dato’ Seri Utama Hj Mohamad Hj Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan di jadualkan akan menyerahkan bendera UMNO kepada UMNO Perhubungan Negeri Selangor pula.
Turut menyertai larian ini ialah Dato’ Seri Hishamuddin Tun Hussein, Naib Presiden UMNO Malaysia merangkap Menteri Dalam Negeri dan Dato Seri Mohd Ali Mohd Rustam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Melaka.
Turut hadir, Dato’ Seri Utama Tan Sri Hj Mohd Isa Dato’ Hj Mohd Samad, Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tn Hj Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Dato’ Idris Haron, Pengerusi Jawatankuasa larian bendera UMNO Peringkat Negeri Melaka.
Comments