Penglibatan ekstremisme dalam politik serius, bahaya



Kerajaan digesa bertindak segera terhadap dakwaan wujudnya anasir ekstremisme atau pengganas yang cuba menyerap masuk ke dalam parti-parti politik di negara ini.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, langkah itu perlu memandangkan penglibatan golongan berkenaan dalam politik mampu memberi kesen terhadap keselamatan negara.

"Tidak kira sama ada parti pembangkang mahupun parti kerajaan, penglibatan puak-puak pelampau ini harus ditangani dan disekat segera kerana ia mampu mendatangkan ancaman kepada negara dan amat berbahaya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas pendedahan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi ke dalam parti pembangkang serta cuba menjadi calon pada pilihan raya umum akan datang.

Ibrahim berkata, kerajaan juga perlu menjelaskan mengenai langkah dan kaedah yang akan digunakan bagi menyekat kemasukan golongan berkenaan ke dalam parti politik.

Katanya, ia berikutan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang sememangnya penting untuk berhadapan dengan situasi ancaman puak pelampau dan pengganas itu sudah dimansuhkan.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Pemimpin Mahasiswa Aspirasi Malaysia (Aspirasi), Mohd. Shahar Abdullah berkata, pihaknya tidak terkejut dengan pendedahan berkenaan memandangkan pembangkang turut menyokong aktiviti berbentuk keganasan dan agresif.

"Kita lihat sahaja dalam siri demonstrasi anjuran mereka seperti Bersih 3.0., ia sangat mengejutkan kerana anggota keselamatan diserang selain harta benda awam dirosakkan.

Selain itu, beliau menegaskan, sekiranya dakwaan berkenaan benar, kerajaan perlu mencari mekanisme terbaik supaya anasir tersebut dapat disekat daripada menular ke dalam institusi-institusi pengajian tinggi.

Comments