Mangsa ditikam di tengkuk (Kenapa ini mesti terjadi?? Mana hilangnya peri kemanusiaan??)

 Mana hilangnya peri kemanusiaan??
 
Pada 30 Ogos 2010, seorang wanita berbangsa Melayu dikatakan telah dibaringkan di atas lantai sebuah rumah.

Wanita itu kemudian dikatakan telah ditikam di bahagian tengkuk menyebabkan mangsa menjerit kuat meminta pertolongan.

Kesemua itu didakwa dilakukan oleh tertuduh kedua, T. Thilaiyalagan, 21, di hadapan majikannya, N. Pathmanabhan kerana peguam terbabit ingin melihat kematian wanita terbabit.

Pada hari yang sama juga, tiga lelaki Melayu dikatakan turut dibunuh dengan cara yang sama namun ketiga-tiga mangsa ditutup wajah mereka dengan tuala sebelum ditikam.

Bagaimanapun, cadangan-cadangan ngeri Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd. Yusoff itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, dinafikan tertuduh terbabit yang juga merupakan saksi pembelaan kedua.

Dia juga tidak bersetuju dengan cadangan Ishak bahawa rancangan untuk membunuh kesemua mangsa itu dibuat sejak 29 Ogos 2010.

Thilaiyalagan tidak bersetuju dengan cadangan-cadangan itu pada perbicaraan kes bunuh jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya, 47; pegawai bank, Noorhisham Mohamad, 38; peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44, di peringkat bela diri.

Tertuduh kedua itu didakwa melakukan perbuatan itu bersama-sama Pathmanabhan, 43, dan dua lagi pekerja ladang, R. Matan, 22, dan R. Kathavarayan, 32, di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat di Banting antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos 2010.

Sementara itu, ketika disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Edris Zainudin, Thilaiyalagan bersetuju dengan pendakwaan bahawa wujud beberapa percanggahan dalam keterangannya ketika disoal siasat kali pertama pada 11 September 2010 dan dua laporan polis yang dibuat pada 6 April serta 6 Julai 2011.

Antara percanggahan tersebut ialah dakwaan kecederaan yang dialami akibat dipukul polis ketika dalam tahanan, dakwaan yang dibuat bahawa pertuduhan adalah bagi menganiaya majikannya dan mengenai dakwaan pegawai soal siasat Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Cif Inspektor N. Govindan telah memasukkan muncung pistol ke dalam mulutnya ketika soal siasat.

Selain itu, tertuduh terbabit mengakui laporan polis bertarikh 6 Julai 2011 dibuat selepas dinasihatkan oleh peguam.

Terdahulu, Thilaiyalagan turut mengaku dia sering duduk bersama-sama dengan tertuduh-tertuduh lain sewaktu berada di lokap dan mahkamah serta berbincang mengenai kes pembunuhan itu.

Namun dia menafikan ada membincangkan mengenai pembelaan yang akan dibuat olehnya dengan rakan-rakan dan majikannya itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir bersambung 6 November ini.

Comments