Lepas jumpa Mawi di sebuah kedai kopi di Bangi minggu lalu, saya jadi cemburu. Cemburu kerana dia anak Felda. Bestnya jadi anak Felda. Kata Mawi, ramai kawan-kawannya yang sama membesar di Felda Taib Andak dulu, dapat manfaat dan hidup senang.
Kata Mawi, paling bagus sekali KPF (Koperasi Permodalan Felda) di mana sebuah rumah ada satu akaun. KPF ni, cerita Mawi, samalah macam ASB. Jumlah pelaburan maksimum adalah RM250,000. Selalunya dividen akan diberi sebelum dan selepas Raya. Ha? Siapa kata Felda tak bagus?
Petang itu Mawi relaks saja. Jauh beza masa saya jumpa dia pertama kali, tapi masa tu dia baru saja menang AF. Gelabah sedikit, lebih-lebih lagi bila media tekan pasal cerita putus tunang dan macam-macam kontroversi yang boleh dicipta, kerana waktu itu, apa saja cerita pasal Mawi dalam akhbar, majalah, mesti laku. Mawi jadi lombong emas.
Masa itu, royalti dia untuk tiga album cecah RM500,000. The Best Of Mawi pula capai jualan RM180,000. Dengan hasil duit royalti itulah dia buat rumah kampungnya di Taib Andak itu jadi banglo. Siapa sangka angan-angan untuk jadi terkenal dan kaya, menjadi kenyataan. Itulah tuah dan rezeki Allah beri padanya.
Satu hal yang saya tabik Mawi ni, dia tidak besar kepala. Dan tidak lupa diri bila diberi kesenangan dan kekayaan. Berulang-kali dia sebut, "Saya kena sentiasa beringat."
Bagus Mawi. Memang kena sentiasa beringat, maklumlah, pasang surut hidup artis adalah tidak menentu. Ramai yang akhirnya hidup melarat, terutama di akhir kerjaya dan ada yang mati dalam kedaifan. Cukuplah.
Bab pengurusan Mawi memang pandai. Dia melabur dalam ASB, bukan dalam skim cepat kaya ala Pak Mantelo dan segala macam MLM. Dia beli rumah, Puncak Jalil, sebuah flat di Johor Bahru dan dia ujudkan peluang kerja untuk saudara mara di Medan Selera di Mariamah, Johor di mana lapan gerai makan dibuka sejak tiga tahun lalu.
Akhirnya, bila saya puji Mawi, "Pandai Mawi urus kewangan dan pada masa sama kekal sebagai artis yang bersih dari skandal dan gosip," lantas dia jawab dengan ketawa, "Tapi saya bukan "bersih yang kuning" tu ye!"
Comments