Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar antara wakil rakyat kerap hadir di Dewan Rakyat dan selalu bersama ahli parlimen pembangkang lain jika ada sidang media di lobi parlimen.
Pada Isnin, ramai petugas media ternanti-nanti kemunculan Naib Presiden PKR itu di Parlimen untuk dapat komennya ekoran kenyataan beliau di satu forum Sabtu lalu bahawa setiap rakyat di negara ini tidak seharusnya dipaksa mengamalkan agama tertentu dan perkara itu juga perlu terpakai kepada orang Melayu.
Namun, beliau tidak muncul untuk menjawab kenyataannya yang disiarkan Malaysiakini dan kemudian dipetik Utusan Malaysia.
1Christians.blogspot.com turut melapor kenyataan Nurul Izzah yang menjawab soalan peserta forum Negara Islam : Versi Mana; Siapa Bertanggungjawab? di Subang Jaya, pada Sabtu lalu.
Penyudahnya, Timbalan Presiden PKR yang juga ahli parlimen Gombak, Azmin Ali jadi tumpuan media untuk penjelasan berhubung apa dikatakan oleh Nurul Izzah.
“Itu (hanya laporan )Utusan Malaysia. Nurul Izzah tidak menyatakan demikian. Beliau sudah buat penjelasan cukup jelas bahawa sebagai seorang Muslim, kita terikat dengan undang-undang Syariat.
“Apa dikatakan Nurul Izzah bagi orang bukan Islam kerana dalam Islam kita tidak boleh memaksa orang bukan Islam menerima Islam...kita tak boleh paksa. Bagi sesaorang Muslin, kita wajib terikat undang-undang Syariat,” ujar Azmin.
Jelas Azmin merujuk kenyataan Nurul Izzah dalam laman sosial Facebook, pada Isnin menafikan beliau menyokong murtad selepas kenyataannya dikritik pelbagai pihak.
Bagaimanapun, kenyataan awal dan kemudiannya dinafikan sendiri oleh Nurul Izzah, menyebabkan ahli parlimen Bebas Kulim Bandar Bharu, Datuk Zulkifli Noordin menuntut anak kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim itu memberikan penjelasan.
Dalam sidang media di lobi parlimen lewat petang Isnin, beliau mendedahkan apa dikatakan Nurul Izzah sama dengan pandangan Majlis Peguam yang disokong beberapa NGO supaya ditubuhkan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) bagi membolehkan kebebasan pilih agama dan keluar agama termasuk oleh orang Islam.
“Saya nak tahu beliau sedar atau tidak kenyataannya itu senada dengan Majlis Peguam dan NGO lain yang mahu tubuhkan IFC dan ditentang keras PAS.”
“Saya juga nak tahu adakah (kenyataan) Nurul Izzah juga sependapat dengan Artikel 18, Deklerasi Hak Asasi Manusia Bangsa-Bangsa Bersatu yang memperuntukkan tiap-tiap individu berhak memilih dan mengamalkan agama masing-masing,” katanya.
Menurut Zulkifli, isu kebebasan memilih agama ini adalah yang diperjuangkan golongan liberal yang menganut fahaman pluralisme yang turut dikaitkan dengan Anwar.
“Fahaman pluralisme adalah yang menyamakan Islam sama dengan Kristian, Hindu sama dengan Buddha, Sikh sama dengan Kristian...semua sama. Saya nak tanya adakah Nurul Izzah kongsi pendapat dengan golongan ini,” tegas Zulkifli.
Selain itu, katanya kenyataan Nurul Izzah senada dengan Anwar semasa kes Lina Joy yang murtad.
“Ketika ditanya pendapatnya, jawaban Anwar : Itu adalah hak kebebasan Lina untuk memilih. Kenyataan itu dan kenyataan Nurul Izzah sama,” ujar beliau.
Persoalan lain dibangkitkannya adalah kenyataan Nurul Izzah yang perlu ditanya orang ramai apa sebenarnya dasar pembangkang kerana beliau adalah anak Anwar, Ketua Pembangkang yang diuar-uarkan jadi Perdana Menteri.
“Nurul Izzah adalah anak Presiden PKR, beliau juga Naib Presiden PKR dan ahli parlimen Lembah Pantai bagi PKR. Kenyataan Nurul Izzah ini beri persepsi itu adalah pandangan parti pembangkang supaya rakyat tahu dasar sebenar pembangkang,” katanya.
Sehubungan itu, katanya sudah tiba masa Majlis Fatwa Kebangsaan memanggil pemimpin PKR dan PAS untuk mendapatkan penjelasan mengenai pendirian parti masing-masing serta mengelakkan umat Islam dan orang Melayu keliru selepas PAS berdolak dalih dalam isu Hudud.
Bagi ahli parlimen Bebas kawasan Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, kenyataan Nurul Izzah berhubung itu kebebasan memilih agama itu ibarat ‘bapa borek, anak rintik’.
“Bagi saya Nurul Izzah ini budak mentah dan mungkin terpengaruh dengan bapanya yang mendokong fahaman pluralisme. Saya minta PAS secepat mungkin, tarbiahkan budak ini,” katanya mengulas perkara itu.
Beliau juga mahu Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat kenyataan Nurul Izzah.
Sumber : AgendaDaily
Comments