UTUSAN: Sejak bila anda menceburi bidang politik?
TITAN: Saya mula berjinak-jinak dengan dunia politik mulai tahun 1998 selepas mengambil keputusan untuk mendaftar menjadi ahli MCA seumur hidup sebelum lebih serius dan diberi kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai ahli jawatankuasa MCA negeri dan naib pengerusi pemuda MCA negeri.
Adakah anda sudah berumahtangga ?
Masih bujang. Status saya ini membolehkan saya memberi fokus sekali gus komitmen dan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat. Kadang-kala saya juga tidak mempunyai masa untuk diri sendiri. Apa pun saya sudah pilih jalan ini dalam hidup saya di mana kita bukan sahaja kena korbankan masa, tenaga malah wang ringgit demi rakyat.
Apa pekerjaan anda sebelum menyertai politik?
Sebelum ini saya merupakan seorang penjawat awam iaitu pegawai Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, tetapi baru-baru ini saya terpaksa melepaskan jawatan itu selepas saya dicalonkan untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lobak ini. Ini bagi membolehkan saya fokus dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).
Apakah bidang sukan yang anda minati?
Saya memang meminati bidang sukan khususnya bola keranjang. Malah saya merupakan seorang pengadil ditauliahkan Persatuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA). Saya sudah 17 tahun mengadili banyak perlawanan bola keranjang di dalam dan luar negara. Saya juga pernah masuk Malaysia Book of Records (MBOR) kerana menjadi antara pengadil tempatan terawal mendapat lesen daripada FIBA.
Apa yang mendorong anda untuk menjadi seorang pengadil?
Pertama, saya amat meminati permainan bola keranjang ini. Kedua, kerana saya berpendapat secara tidak langsung akan dapat mengajar diri saya untuk menjadi lebih adil dan telus. Ini kerana untuk menjadi seorang pengadil yang baik ia memerlukan anda untuk membuat keputusan yang bijak, pantas, cekap dan lebih penting adil. Contoh jika seseorang pemain itu melakukan foul kita tidak boleh teragak-agak untuk meniup wisel untuk menentukan mana pihak yang betul dan mana yang salah.
Sejauh mana ia mempengaruhi hidup anda ?
Seperti saya katakan tadi, ia amat membantu diri saya untuk membuat keputusan dengan bijak, maka jika saya dipilih untuk menjadi wakil rakyat, saya perlu adil untuk menentukan mana yang buruk dan baik. Mana pihak yang salah tetap salah dan mana pihak yang tertindas akan dibantu.
Bagaimana anda melihat penerimaan penduduk Lobak terhadap anda yang merupakan calon muka baharu Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) ?
Antara cabaran utama saya adalah untuk meyakinkan rakyat di kawasan ini yang majoritinya kaum Cina. Pemikiran mereka ini dipengaruhi oleh pembangkang yang sering memainkan sentimen perkauman selain menabur janji yang tidak boleh ditunaikan, sedangkan sejak pembangkang mentadbir di sini, semua urusan pembangunan termasuk soal kebajikan mereka dilakukan oleh Barisan Nasional (BN), Apa pun saya berharap mereka dan mula sedar, 'membuka mata' serta menilai sendiri terhadap fungsi, peranan dan sumbangan BN yang telah terbukti mampu memperjuangkan nasib mereka mencakupi semua aspek.
Comments