UMNO memerlukan barisan kepimpinan yang bijak bekerja demi bangsa, agama dan negara, bukannya pemimpin yang hanya tahu bercerita.
Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO tidak memerlukan pakar yang pandai bercerita untuk membangunkan parti dan negara, tetapi mencari pemimpin yang pandai bekerja bagi tujuan tersebut.
"'Orang tidak mahu lihat lagi pemimpin 'siaran', yang ke hulu dan hilir bercakap tetapi tidak buat apa-apa. Orang hendak lihat apa yang telah kita lakukan dan itulah pemimpin 'ukuran'.
"Pemimpin 'ukuran' ini membawa makna di mana orang dan ahli parti dapat mengukur sejauh mana kejayaan kita serta kemampuan membawa UMNO ke era lebih cemerlang," katanya.
Mohamad berkata demikian kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti itu, di sini, hari ini.
Beliau yang juga calon ahli Majlis Tertinggi (MT) memberitahu, kepimpinan dan ahli UMNO perlu menembusi benteng selesa dan keluar mendampingi rakyat dengan cara bekerja kuat, mengatur strategi, membaik pulih parti serta melakukan pendekatan supaya UMNO terus menjadi parti untuk orang Melayu dan tonggak dalam Barisan Nasional (BN).
Comments