PULAU PINANG -
Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) negeri mendesak Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan negeri, Dr. P. Ramasamy meletakkan jawatan ekoran kritikannya
berhubung dasar penulisan khat yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan.
Armada negeri dalam satu kenyataan berkata, meskipun
dengan portfolio itu, Ramasamy sehingga kini tidak menunjukkan sebarang
inisiatif dalam memartabatkan sejarah dan warisan bahasa Melayu sebagai Bahasa
Kebangsaan kepada generasi muda di negeri ini.
Sebaliknya, katanya, Ramasamy lebih cenderung untuk
mempromosikan elemen-elemen rasis dan ekstremis yang tidak seharusnya
ditonjolkan oleh seseorang pemimpin apatah lagi yang menggalas tanggungjawab
dan portfolio pendidikan negeri.
"Maka, tindakan-tindakan Ramasamy yang sering
bersifat rasis dan ektremis ini jelas menyatakan portfolio tersebut langsung
tidak sesuai untuk dipikul oleh beliau.
"Sekiranya pemimpin seperti ini masih memegang
portfolio ini, maka impaknya terhadap generasi muda dalam negeri jelas ke arah
yang lebih negatif," demikian menurut kenyataan itu di sini hari ini.
Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II sebelum ini
dilaporkan mengkritik Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Menteri
Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berhubung pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi
dalam buku teks di sekolah jenis kebangsaan.
Menurut Ramasamy, beliau sukar untuk mempercayai Dr.
Mahathir mahu memaksa pelaksanaan pembelajaran khat tanpa memahami akibatnya
dalam sebuah masyarakat yang terbahagi dan pelbagai seperti di Malaysia.
Dalam pada itu, kepada pemimpin yang benar-benar
mempunyai hasrat untuk membangunkan agenda pendidikan Armada negeri turut
memohon jasa baik kerajaan negeri untuk memberikan portfolio pendidikan
tersebut negeri yang lebih holistik dan komprehensif.
Katanya, Ramasamy seharusnya menyokong langkah serta
inisiatif Kementerian Pendidikan untuk memartabatkan warisan bahasa Melayu dan
tidak menjadi 'api dalam sekam' serta 'gunting dalam lipatan' terhadap hasrat
murni kerajaan dalam membina identiti nasional yang berakar jati peribumi.
Jelasnya, tindakan Ramasamy membangkang usaha Kementerian
Pendidikan itu jelas menyerlahkan kedangkalan beliau dalam memahami sejarah dan
keistimewaan tulisan tersebut.
"Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 secara jelas
menyebut Jawi merupakan tulisan bagi bahasa kebangsaan di samping tulisan rumi.
"Tulisan Jawi turut dicetak di wang kertas dan
syiling negara, jata negara serta jata negeri-negeri tertentu dan juga semua
Dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu," katanya.
Tambah kenyataan itu, meskipun Malaysia merupakan negara
yang meraikan kepelbagaian kaum dan agama, namun tidak seharusnya muncul
pihak-pihak yang meletakkan kaligrafi Cina atau Tamil setaraf dengan tulisan
Jawi.
Ini kerana, ujarnya, tulisan-tulisan tersebut telah pun
dan sedang dipulihara serta diangkat di negara-negara asalnya.
"Secara tuntasnya, memulihara dan mertabatkan
keagungan tulisan Jawi hendaklah menjadi tanggungjawab segenap lapisan
masyarakat," katanya. - UTUSAN ONLINE
Comments