E-Scoba - #MenujuPRU15 > Khaled Nordin sedia disiasat isu pencemaran Pasir Gudang


JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersedia untuk disiasat setelah dituduh dan dipersalahkan berhubung kejadian pencemaran udara yang berlaku pada Jun lalu.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas itu berkata, ada sesetengah pihak menuduhnya bertanggungjawab meluluskan pembukaan dan operasi kilang-kilang di Pasir Gudang serta menggesa agar pihak berkuasa terutamanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan membongkarnya.
"Saya ingin menegaskan beberapa perkara. Pertama, kelulusan pembukaan atau operasi sesebuah kilang di Pasir Gudang bukanlah kuasa dan tugas ADUN yang terlibat, setidak-tidaknya tidak semasa saya menjadi ADUN.
"Sebaliknya, kelulusan dan operasi kilang adalah di bawah bidang kuasa dan pemantauan pihak berkuasa tempatan (Majlis Perbandaran Pasir Gudang) manakala perkara-perkara yang melibatkan lesen, pemantauan serta syarat-syarat tambahan pula, kebanyakannya adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan dan agensi yang berkaitan.
"Jadi, saya bersedia malah sangat menggalakkan jika orang ramai atau mana-mana pihak menggesa kerajaan negeri untuk menyemak dan mendedahkan nama kilang yang terlibat dalam pencemaran ini. Daripada maklumat tersebut, kita semua akan dapat mengetahui siapakah pihak yang meluluskan pembukaan dan operasi tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamed Khaled juga bersetuju untuk pihak berwajib seperti SPRM atau mana-mana agensi yang relevan membuka kertas siasatan bagi melakukan siasatan menyeluruh pihak yang terlibat untuk dikenakan tindakan.
"Apa yang menjadi masalah dan kebingungan semua pihak sekarang adalah sehingga kini kerajaan negeri sendiri begitu berkeras dan bersungguh-sungguh melindungi nama pesalah dan kilang-kilang yang terlibat.
"Selepas dua kali insiden yang sama berulang, kerajaan negeri dan kementerian yang terlibat masih merahsiakan suspek dan nama kilang-kilang yang disyaki," katanya.-UTUSAN ONLINE

Comments