KUALA LUMPUR - Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
sepakat menggesa Tun Dr. Mahathir Mohamad menyerahkan jawatan Perdana Menteri
kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selewat-lewatnya pada 9 Mei 2021,
genap tiga tahun Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan Pusat.
![]() |
TANGKAP layar petikan surat terbuka oleh Bersih 2.0, ABIM dan GBM yang mahu Dr. Mahathir menetapkan masa peralihan kuasa.-UTUSAN ONLINE |
Tiga NGO tersebut ialah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan
Adil (Bersih 2.0), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Gabungan Bertindak
Malaysia (GBM).
Mereka menerusi surat terbuka bersama kepada Dr. Mahathir
menggesa Perdana Menteri dan kepemimpinan PH mengambil langkah jelas untuk
membawa kestabilan politik negara dengan meletakkan pakej peralihan berdasarkan
perjanjian sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
"Pergolakan PKR selaku parti komponen utama dalam
gabungan PH sedang merisaukan rakyat dan komuniti antarabangsa kerana
berpotensi untuk memecahbelahkan gabungan tersebut serta menyebabkan politik
negara ini dalam keadaan kucar-kacir.
"Kebimbangan kami adalah agenda pembaikan kerajaan
PH yang akan terhenti, atau lebih parah, apa yang sedang dicapai kini akan
terundur kepada sistem yang lama sekiranya kestabilan politik tidak dipulihkan.
"Kerisauan kami hanya tertumpu kepada kestabilan
politik dan tanggungjawab dalam penggal ke-14 Parlimen tanpa ada sebarang
kecenderungan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," kata ketiga-tiga
NGO tersebut dalam surat terbuka bersama hari ini.
Mengenai penyerahan kuasa tersebut, tiga NGO itu berkata,
walaupun tidak ada ketetapan masa yang dinyatakan dalam perjanjian, Dr.
Mahathir dalam pelbagai majlis sering berkata tempoh peralihan akan mengambil
masa dua hingga tiga tahun selepas PH membentuk kerajaan.
"Bagi memastikan kelancaran peralihan, Anwar perlu
dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri enam bulan sebelum tarikh yang
ditetapkan.
"Dengan pelan peralihan yang jelas, ini akan
memadamkan desas-desus dan teori-teori konspirasi yang dibuat oleh mereka yang
ingin mendapat laba daripada ketidakstabilan dan perpecahan gabungan PH,"
gesa kenyataan bersama itu.
Bersih 2.0, ABIM dan GBM turut mencadangkan beberapa
langkah lain bagi mengembalikan kestabilan politik.
Antaranya menetapkan had penggal Perdana Menteri agar
tidak memegang kuasa terlalu lama dan pengurangan penumpuan kuasa Eksekutif
yang dimiliki Perdana Menteri.
Tiga NGO itu juga mahu pengukuhan institusi awam utama
seperti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM), Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Hak
Asasi Manusia (Suhakam) dan Jabatan Peguam Negara dipercepatkan.
"Kami menggesa pimpinan kerajaan PH, Dr. Mahathir,
Majlis Presiden PH dan Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk mengambil tindakan
tanpa lengah lagi bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada kerajaan ini.
"Mesej yang jelas mesti dihantar kepada semua yang
kebajikan negara dan agenda reformasi mendahului kepentingan peribadi dan
parti," menurut mereka bersama.
Tiga NGO itu turut menasihat PH bahawa parti itu
hanya mempunyai kurang daripada empat tahun untuk memenuhi janji serta
memulihkan kestabilan politik dan pentadbiran. - UTUSAN ONLINE
Comments