E-Scoba - #MenujuPRU15 > Pas bertegas tidak sokong ulang undi tidak percaya kepada PM


KUALA LUMPUR - Kesemua 18 orang Ahli Parlimen Pas tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agungnya, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, gesaan pihak-pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang telah dilantik mengikut Perkara 43(2), Perlembagaan Persekutuan supaya menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain adalah tidak selaras dengan undang-undang.
Katanya, Perkara 43(2)(a), Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri dari kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan tersebut.
“Ia merupakan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat dari mana-mana pihak.
Setelah terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan tersebut hanya terlucut dalam tiga keadaan iaitu Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela; Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.
“Dalam konteks sekarang, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah, ini secara tidak langsung membawa maksud Tun Dr. Mahathir Mohamad telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Takiyuddin, sekiranya perkara itu adalah benar, Anwar sepatutnya segera mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyembah maklum tentang perkara tersebut.
“Beliau juga boleh membawa Usul Undi Tidak Percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan.
“Sekiranya Usul Undi Tidak Percaya terhadap Perdana Menteri diluluskan, maka Perdana Menteri mempunyai dua pilihan, iaitu meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang Di-Pertuan Agong supaya membubarkan Parlimen, yang mana Yang diPertuan Agung mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya,” katanya. - UTUSAN ONLINE

Comments