Keputusan Kabinet bahawa pelaksanaan pengajaran Jawi di
sekolah vernakular adalah tertakluk kepada persetujuan PIBG menunjukkan siapa
sebenarnya yang menguasai Pakatan Harapan.
Ternyata DAP adalah penguasa sebenar Kerajaan Pakatan
Harapan (PH). Kabinet Tun Dr. Mahathir Mohamad hanya ‘rubber stamp’ kepada
sutradara Dong Jiao Zong yang dilakon layarkan oleh DAP.
Negarawan besar seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad pun
tertewas dengan desakan tidak munasabah DAP.
Keputusan Kabinet itu bukan satu konsensus. Konsensus
tidak akan menyebabkan terhapusnya Jawi dalam sistem persekolahan vernakular.
Konsensus tidak akan mematikan semangat di Jawi dan
pengajarannya, iaitu meraikan kemajmukkan Malaysia.
Semua orang tahu bahawa tiada PIBG sekolah vernakular akan
membenarkan pengajaran Jawi dilaksanakan.
Demikianlah tragedinya, disebalik kedudukan, martabat dan
status istimewa bahasa Melayu yang dijamin dalam Perlembagaan.
Orang Melayu tidak akan melupakan pengkhianatan luar
biasa ini. Mana perginya sang Anwar Ibrahim yang selama ini selalu dianggap
sebagai pejuang bahasa Melayu.
Mana suaranya Mohamad Sabu, Salahuddin Ayub dan
rakan-rakan dalam Kabinet yang dulu pernah berarak di jalanan menentang
pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris.
Mana perginya perjuangan Syed Saddiq dan rakan
Bersatu-nya dalam mempertahan, memperjuang dan memperkasakan bahasa Melayu demi
kepentingan nasional.
Ingatlah, apa yang kamu persetujui kelmarin akan
menghantui kamu seumur masa.
Namun bangsa dan tanah air ini, tidak akan diliputi mega
mendung selamanya. Masakan sang bulan pura berduka sedangkan langit penuh
berbintang.
Tragedi semalam akan menjadi lonjakan kepada kami untuk
mengembalikan pengaruh, kuasa dan kepentingan Melayu dalam nadi dan nafas tanah
air ini Insya-Allah.
Dan akan kami lakukan tanpa meluka dan menafikan hak
serta kepentingan bangsa lain pastinya.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin
Naib Presiden UMNO
*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi
penulis dan tidak mencerminkan pendirian Utusan.
Comments